Selasa, 14 November 2017 | 9:12pm
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Yazit Razali

MAB gerak kempen kebersihan tandas lapangan terbang

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyasarkan menjadi peneraju utama dalam aspek penjagaan kebersihan tandas awam di lapangan terbang dan menetapkan piawaian bagi menentukan kebersihan tandas.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata objektif utama kempen itu adalah menggalakkan pengguna lebih beretika ketika menggunakan tandas di lapangan terbang pada peringkat usia muda.

"Kami percaya, sebagai pengendali 'pintu masuk' ke Malaysia, amat penting untuk syarikat menonjolkan imej yang berwibawa dan berbudi bahasa kepada dunia.

"Bukankah ia sesuatu yang menakjubkan apabila pelancong yang datang menyedari kita bukan sahaja mempunyai kemudahan yang hebat tetapi memiliki cara berfikir yang betul dalam penjagaan kemudahan awam?

"Kami merasakan usaha dilakukan ini adalah sesuatu yang terkehadapan, selari dengan misi menawarkan pengalaman menyeronokkan kepada pengguna lapangan terbang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengendali lapangan terbang itu memulakan projek inisiatif membaik pulih 225 tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Kempen kesedaran khidmat awam (PSA) Etika Menggunakan Tandas dimulakan dengan menganjurkan program lawatan murid sekolah rendah ke KLIA, memilih sekolah angkat dan mengajar mereka menggunakan tandas awam secara bertanggungjawab.

Kempen dimulakan dengan murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJKC) Wah Lian Sungai Pelek pada 2 November lalu, diikuti Sekolah Kebangsaan Bangkong (A) Sungai Pelek (7 November), SJK Tamil Dengkil (9 November) dan SK Dengkil, hari ini.

Badlisham berkata, kakitangan MAHB terbabit secara langsung dalam kempen itu dan mempunyai pasukan yang berdedikasi meluangkan masa menjayakannya bersama murid terpilih yang keseluruhannya berjumlah 140 orang.

"Dalam mempelajari etika menggunakan tandas, kanak-kanak terbabit turut dibawa melawat lapangan terbang dan melihat lebih dekat operasi penerbangan," katanya.

Berita Harian X