Rabu, 15 November 2017 | 12:43am
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Larangan bertudung bertentangan perlembagaan

KUALA LUMPUR: Sebarang dasar larangan pemakaian tudung seperti yang dilapor dibangkitkan Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) adalah bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyifatkan dasar larangan bertudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan hadapan sektor perhotelan di sesetengah rangkaian hotel di negara ini sebagai perkara tidak berasas.

Menurutnya, pendirian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah jelas berdasarkan status Islam di negara ini dan prinsip kebebasan dalam beragama.

"Dalam soal ini, perlu difahami secara jelas bahawa pemakaian tudung dalam Islam adalah kewajipan dan isu ini bersifat menyeluruh yang menjadi sebahagian daripada tuntutan agama," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat jawatan kuasa di Dewan Rakyat.

Asyraf Wajdi menjawab soalan Datuk Dr Khairudin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) berkenaan pendirian JAKIM mengenai isu pemakaian tudung.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

- BERNAMA

1427 dibaca
Berita Harian X