Rabu, 15 November 2017 | 4:03pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kementerian Pendidikan sasar 10 peratus sekolah sertai PIMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyasarkan 10 peratus daripada 2,048 sekolah menengah di seluruh negara mengambil bahagian dalam program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) menjelang tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata program membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima dari sekolah yang jaraknya lebih kurang lima kilometer dari kawasan industri, menyertai latihan industri berkaitan.

Katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor menjadi perintis program terbabit dalam industri seperti spa dan pembuatan roti.

PIMA membabitkan 70 peratus masa pembelajaran di industri dan 30 peratus pengajian akademik di dalam kelas.

"Penyertaan pelajar perlu mendapat kebenaran ibu bapa kerana mereka perlu hadir sekolah dua hari, manakala tiga hari lagi melakukan latihan dalam industri terpilih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan Bett Asia 2017 yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell, di sini hari ini.

Pameran akademik dan teknologi pendidikan kali kedua dianjurkan di negara ini, disertai lebih 60 syarikat seluruh dunia yang terbabit dalam sektor teknologi terkini dalam dunia pendidikan.

Mahdzir, berkata keberkesanan projek perintis itu dilihat terutama dalam aspek Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) kerana ia memberi pendedahan kepada kemahiran industri.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) memberi manfaat dalam pembangunan negara, malah turut menjadi agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Katanya, kementerian menerusi kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat di bawah Blended Learning Open Source Science and Mathematics Studies (BLOSSOM), berjaya melatih guru untuk menghasilkan 18 video interaktif STEM.

"Penghasilan video interaktif itu menjadi penanda aras kepada pencapaian guru dan pelajar terhadap kemahiran pemikiran kritikal dalam mendalami ilmu berhubung bidang STEM," katanya.

Sementara itu, Treadell menyifatkan Bett Asia 2017 sebagai usaha sama-sama menang dalam meningkatkan kemajuan bidang akademik dan teknologi pendidikan dalam kalangan generasi muda.

"Saya gembira dengan penganjuran kali kedua acara ini dan berharap ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Acara menyatukan lebih 1,700 pembuat dasar pendidikan, pemimpin dan pakar dari seluruh dunia.

"Mereka membincangkan transformasi pendidikan dan inovasi yang akan memberi inspirasi kepada perubahan masa depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir mengarahkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah memberi perhatian kepada aliran penganjuran majlis tamat persekolahan peringkat TADIKA dan sekolah di hotel mewah.

Katanya, meskipun kurang 10 peratus sekolah menganjurkan majlis graduasi di hotel mewah, perkara itu perlu diberi perhatian supaya tiada pihak yang terbeban, khususnya ibu bapa.

"Kementerian tiada kuasa melarang kerana ini adalah hasil perbincangan di antara ibu bapa dan pihak sekolah sendiri. Kementerian tidak pernah menetapkan untuk menganjurkan majlis di tempat tertentu," katanya.

"Bagaimanapun saya menyarankan sebelum anjur apa-apa majlis, ibu bapa perlu suarakan jika tidak berpuas hati dengan cadangan penganjuran acara secara berlebih-lebihan," katanya.

320 dibaca
Berita Harian X