X
Khamis, 16 November 2017 | 12:18pm

Helikopter terjatuh, 4 terselamat

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa mengesahkan insiden sebuah helikopter terjatuh sebaik sahaja berlepas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, empat individu termasuk juruterbang berusia 30 hingga 40 tahun tidak mengalami kecederaan dan hanya pengimbang besi helikopter berkenaan rosak akibat terhempas di permukaan landasan.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din menerusi laman Twitter beliau dan melahirkan rasa syukur kerana tiada kecederaan serius terhadap semua kru pesawat terbabit.

Pengurus Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) KKIA, Sunif Naiman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang sebelum sepasukan anggota penyelamat termasuk bomba dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, helikopter jenis AS355-F2 itu dinaiki empat individu berkenaan dan dalam jadual untuk berlepas bagi menjalani penerbangan ujian ke satu destinasi sebelum dilaporkan terhempas dengan skala tidak teruk di landasan terbabit.

"Kita menerima panggilan daripada menara kawalan berhubung kejadian ini dan MAHB mengarahkan pasukan penyelamat menjalankan operasi bantuan kecemasan.

"Helikopter terbabit dinaiki empat orang termasuk juruterbang yang tiba-tiba terhempas di landasan penerbangan namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

"Hasil pemeriksaan awal, kejadian itu dipercayai disebabkan helikopter kehilangan kuasa sehingga menyebabkan kemalangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X