Khamis, 16 November 2017 | 6:18pm
KARNIVAL Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) di Petaling Jaya.

MACCOPS disyor jadi jenama antarabangsa

KUALA LUMPUR: Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) bakal diangkat sebagai jenama antarabangsa pada Persidangan Global dan Mesyuarat Agung Persekutuan Koperasi Antarabangsa (ICA).

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata MACCOPS akan dijadikan pengisian tetap pada persidangan bertaraf antarabangsa itu pada masa akan datang.

Katanya, cadangan itu disuarakan Pengerusi Koperasi Antarabangsa, Monique F Leroux yang mahu usul berkenaan dibentangkan pada ICA 2017 selepas mengagumi penganjuran MACCOPS.

"Penganjuran MACCOPS 2017 menepati objektif dalam membuka jaringan kerjasama antara gerakan koperasi seluruh dunia," katanya ketika ditemui pada MACCOPS di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, di sini.

Katanya, Monique mengiktiraf penganjuran MACCOPS dan mahu ia diusulkan sebagai jenama antarabangsa pada persidangan ICA 2017.

"Bagi ANGKASA, kita mahu jadikan MACCOPS landasan memasar dan mempamerkan produk koperasi seluruh dunia," katanya.

Katanya, walaupun cadangan menjadikan MACCOPS sebagai jenama antarabangsa belum diputuskan, Malaysia tetap dijadikan contoh kepada semua gerakan koperasi dari seluruh dunia yang hadir pada ICA 2017.

"MACCOPS turut mendedahkan peranan yang disediakan ANGKASA bagi membimbing keseluruhan 13,000 koperasi di negara ini.

"Penganjuran MACCOPS pada persidangan ICA akan datang khususnya di Amerika Syarikat, perlu dibincang semula kerana ICA adalah acara dwi-tahunan.

"Apatah lagi, gerakan koperasi antarabangsa juga sudah mempunyai landasan seperti Quebec Summit yang dianjurkan secara berselang dengan ICA," katanya.

Sementara itu, MACCOPS yang akan berakhir Ahad ini dijangka mampu mencatat transaksi dagangan bernilai lebih RM200 juta.

Abdul Fattah berkata, sebanyak 160 ruang pameran disertai pempamer, termasuk 20 koperasi multinasional dari Iran, India, China, Indonesia dan Fiji yang turut berpotensi menjalin kerjasama dengan koperasi di negara ini.

"ANGKASA pula membuka peluang kepada 40 koperasi negara ini yang terpilih dan mempunyai produk melepasi piawaian antarabangsa serta berpotensi untuk di pasarkan ke peringkat ke luar, menyertai MACCOPS edisi ketiga ini," katanya.

84 dibaca
Berita Harian X