Khamis, 16 November 2017 | 6:31pm
KETUA Perekacipta Selimut Cerun yang juga Penolong Jurutera JKR Batang Padang, Tapah, Abd Khalil Ta'adin menunjukkan prototaip Selimut Cerun menggunakan bahan terbuang pada pameran sempena program Hari Inovasi dan Majlis Penghargaan Pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di perkarangan pejabat JKR negeri - Foto Balqis Jazimah Zahari

Inovasi bahan terbuang tangani masalah cerun

IPOH: 'Selimut Cerun' diperbuat daripada bahan terbuang hasil inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang berjaya mengatasi 75 peratus masalah runtuhan permukaan cerun.

Inovasi mesra alam itu menggunakan serat tandan sawit, guni, paip besi tuang liat (GI) dan paip polivinil klorida (PVC) sebagai bahan pelindung permukaan cerun daripada terhakis.

Malah, jangka hayat Selimut Cerun yang dihasilkan juga tahan jauh lebih lama berbanding penggunaan plastik.

Inovasi itu menerima lebih 10 anugerah, antaranya pingat perak pada Pameran Inovasi dan Rekacipta Antarabangsa (ITEX) 2017 di Kuala Lumpur, Mei lalu dan pingat emas pada Persidangan Produktiviti dan Inovasi dan Eksposisi (APIC) 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Ia juga menerima Anugerah Inovasi JKR Perak sempena Hari Inovasi dan Majlis Penghargaan Pesara JKR negeri di sini, hari ini.

Penolong Jurutera JKR Batang Padang yang juga ketua pereka cipta inovasi itu, Abd Khalil Ta'adin, berkata Selimut Cerun diuji sejak dua tahun lalu dan baru dipatenkan Februari lalu.

Beliau berkata, inovasi itu setakat ini dipasang pada cerun bermasalah di laluan Jalan Persekutuan FT 59, iaitu Jalan Tapah-Ringlet dan Jalan Negeri A119, iaitu Jalan Chenderiang.

"Kami membuat kajian peringkat awal selama setahun, melihat pembaikan sementara (cerun) iaitu hamparan plastik yang diguna pakai sebelum ini mempunyai jangka hayat singkat, hanya dua minggu sebelum hancur.

"Namun inovasi Selimut Cerun ini, ia (bahan dipasang pada cerun) masih kukuh berdasarkan pemantauan selama dua tahun. Hasilnya, kami mendapati ia dapat menghindari lebih 75 peratus kesan runtuhan.

"Tiada kes serius membabitkan runtuhan permukaan cerun (dipasang Selimut Cerun) dalam tempoh berkenaan," katanya.

Pada majlis itu, Abd Khalil menerima piala dan sijil Anugerah Inovasi JKR Perak bagi ciptaan berkenaan, disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Yang turut hadir, Pengarah JKR negeri, Datuk Jamilol Nasir Saad.

Abd Khalil berkata, penggunaan serat tandan sawit dan guni serta beberapa bahan lain yang diletakkan dalam sangkar berdawai dapat mengukuhkan cerun.

Ia, katanya, termasuk menggalakkan pertumbuhan rumput yang kuat memegang tanah, manakala rod paip yang dimasukkan sedalam satu meter dari permukaan cerun berfungsi sebagai 'pengikat'.

"Rod paip itu juga mengeluarkan air yang berkumpul di permukaan cerun bagi mengelak cerun runtuh. Pemasangan Selimut Cerun bergantung pada keluasan kawasan runtuhan pada permukaan cerun," katanya.

Katanya, pihaknya turut dimaklumkan oleh Zainol Fadzi bahawa inovasi berkenaan akan dikomersial serta diperluaskan penggunaannya pada semua cerun bermasalah di Perak selepas melalui beberapa prosedur.

Berita Harian X