Khamis, 16 November 2017 | 6:51pm
Pasukan The Green Amazing, bersama guru yang juga jurulatih mereka, Jane Ng Ai Vern (dua kanan) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pasukan berkenaan memenangi pingat emas Kejohanan Robotik Dunia (WRO) 2017 kategori Terbuka Sekolah Rendah. - Foto Suhaila Shahrul Annuar
Pasukan The Green Amazing, bersama guru yang juga jurulatih mereka, Jane Ng Ai Vern (dua kanan) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pasukan berkenaan memenangi pingat emas Kejohanan Robotik Dunia (WRO) 2017 kategori Terbuka Sekolah Rendah. - Foto Suhaila Shahrul Annuar

Robot penanam rumput gandum julang nama negara

SEPANG: Robot penanam rumput gandum ciptaan pelajar Malaysia berjaya memenangi pingat emas Kejohanan Robotik Dunia (WRO) 2017 kategori Terbuka Sekolah Rendah, sekali gus melayakkan Malaysia muncul naib juara keseluruhan kejohanan itu di Costa Rica, baru-baru ini.

Ciptaan tiga murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Bangsar, Kuala Lumpur iaitu Chloe Mak Yu Ying, 10; Loh Huey Xin,11, dan Tan Ji Tao, 11, yang diberi nama The Green Amazing berjaya menarik hati juri sekali gus melayakkan mereka meraih pingat emas pada kejohanan yang berlangsung pada 10 hingga 12 November lalu di San Jose, Costa Rica.

Ketua pasukan The Green Amazing, Huey Xin, berkata pasukannya mengambil masa sembilan bulan untuk mencipta robot 'The Green Amazing' yang mempunyai kepakaran menanam rumput gandum tanpa menjejaskan alam sekitar untuk bekalan makanan binatang ternakan.

"Rumput yang ditanam akan menghasilkan bekalan makanan untuk keperluan binatang ternakan sekali gus boleh menjimatkan tenaga kerja manusia.

"Persaingan sangat sengit kerana peserta negara lain juga mempunyai idea yang pelbagai dan menarik, tetapi kami gembira akhirnya robot kami berjaya memenangi pingat emas," katanya yang memaklumkan kos yang digunakan untuk menghasilkan robot ini adalah RM1,000.

Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad (berdiri enam dari kanan) bergambar bersama kontinjen Malaysia yang menyertai Kejohanan Robotik Dunia (WRO) 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Suhaila Shahrul Annuar
Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad (berdiri enam dari kanan) bergambar bersama kontinjen Malaysia yang menyertai Kejohanan Robotik Dunia (WRO) 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Suhaila Shahrul Annuar

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini bersama kontinjen Malaysia yang bertanding di kejohanan berkenaan.

Ketibaan kontinjen Malaysia disambut Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad.

Kontinjen Malaysia muncul naib juara keseluruhan WRO 2017 selepas merangkul satu pingat emas dan dua pingat perak dalam kejohanan disertai 500 pasukan daripada 50 negara itu.

Dua pingat perak diraih dalam kategori Regular iaitu Kategori Regular Sekolah Menengah Rendah dan Kategori Regular Sekolah Menengah Atas oleh pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, Miri, Sarawak.

Semua kategori yang dipertandingkan dalam WRO 2017 direka khusus mengikut tema tahun ini, iaitu Sustainabots-Robot for Sustainability, yang mana peserta dicabar mencipta robot yang dapat menjaga bumi ini dan membuat perubahan positif sambil menitikberatkan aspek persekitaran, sosial dan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Rozainum berkata, kontinjen negara menunjukkan kemahiran yang luar biasa dan mengagumkan sepanjang pertandingan berkenaan.

"Kemenangan ini adalah bukti kekayaan bakat dalam kalangan pelajar kita dan menunjukkan bahawa mereka mampu mencapai sesuatu yang hebat pada masa depan.

"Kementerian Pendidikan yakin bidang robotik dapat memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan kemahiran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan akan terus menyokong platform seperti Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) dan WRO yang mampu memupuk kemahiran penting abad ke-21," katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, kontinjen Malaysia mencapai keputusan yang sangat cemerlang dalam WRO sepanjang 13 tahun penganjurannya apabila berjaya membawa pulang 25 pingat emas, 18 perak, 20 gangsa, sembilan anugerah khas dan 47 anugerah kecemerlangan.

Berita Harian X