Khamis, 16 November 2017 | 8:10pm
Bekas pesakit barah otak Mohamad Uthman Mohamad Saiful, 7, (kanan) bergambar bersama adiknya sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah bersama keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Nursyahirah Marzuki

Kanak-kanak derita barah syukur dapat tunai umrah

SEPANG: Impian Mohamad Uthman Mohamad Saiful, 7, untuk melihat Kaabah sejak dua tahun lalu akhirnya termakbul apabila beliau dan keluarganya berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah hari ini.

Mohamad Uthman dikesan menghidap barah otak tahap empat pada November 2015, namun kini beliau beransur pulih dan sedang menjalani rawatan susulan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu menerima tajaan pakej menunaikan umrah daripada syarikat pengeluar tenaga bebas, Malakoff Corporation Bhd (Malakoff).

Ibu Mohamad Uthman, Norafidah Yahya, 32, berkata, anaknya terlalu gembira dan teruja apabila mengetahui akan berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada hari ini.


Naib Presiden Eksekutif Operasi Malakoff Habib Husin (kanan) beramah mesra dengan bekas pesakit barah otak Mohamad Uthman Mohamad Saiful, 7, dan keluarganya sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Nursyahirah Marzuki

"Sejak malam tadi, dia (Mohamad Uthman) tidak lelap tidur kerana tidak sabar untuk melihat Kaabah yang diimpikannya selama ini.

"Malah, Mohamad Uthman sendiri beritahu saya, dia mahu doa di depan Kaabah supaya dirinya sihat dan tidak sakit seperti dulu," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif Operasi Malakoff, Habib Husin.

Norafidah berkata, beliau dan suami, Mohamad Saiful Jadin, melakukan persiapan sepenuhnya selama sebulan untuk memastikan perjalanan ibadah mereka sekeluarga termasuk datuk kepada Mohamad Uthman, berjalan lancar.

"Semua ubat-ubatan yang diperlukan Mohamad Uthman sudah disiapkan, malah pemeriksaan dengan doktor juga sudah dilakukan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Uthman berkata, beliau tidak sabar untuk mengunjungi Tanah Suci bagi melihat sendiri Kaabah dan mahu berdoa di sana.

"Saya nak pergi doa depan Kaabah supaya tidak sakit lagi, saya mahu doa macam ibu ajar setiap hari," katanya.

Berita Harian X