Sabtu, 18 November 2017 | 11:51am
CANSELOR Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) beramah mesra bersama graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-12 UMP di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Jangan rosak status graduan, universiti

KUANTAN: Graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) diingatkan supaya menghayati nilai murni dalam kehidupan peribadi dan tanggungjawab profesional untuk membuat keputusan yang baik.

Canselornya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memberikan nasihat itu berdasarkan pengalaman baginda sepanjang 42 tahun dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang, bertitah graduan kini menjadi sebahagian daripada komuniti insan terpelajar.

Pemangku Raja Pahang itu bertitah masa, tenaga dan wang yang dilaburkan untuk melahirkan insan terpelajar oleh ibu bapa serta kerajaan akan sia-sia jika graduan silap membuat pertimbangan atau cuai dalam tindakan mereka.

"Status sebagai graduan melayakkan anda dilantik ke pelbagai jawatan di peringkat pengurusan dan profesional sama ada di sektor awam dan swasta yang mendedahkan kepada pelbagai tanggungjawab serta kuasa untuk membuat sesuatu keputusan.

"Hal ini tentunya menuntut akauntabiliti tinggi daripada anda sebagai golongan eksekutif dan profesional beretika dan berintergriti, namun jika nilai murni itu tidak dihayati sepenuhnya dalam jiwa, pemikiran dan tindakan, sudah tentu anda berisiko tinggi terbabit dalam penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai bentuk jenayah kolar putih.

"Ini sudah tentu merosakkan status anda sebagai orang terpelajar dan mencemarkan nama Universiti Malaysia Pahang yang menjadi alma mater anda," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-12 UMP di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

CANSELOR Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan yang disampaikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim pada Majlis Konvokesyen Ke-12 UMP di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang, Kuantan, hari ini. - Foto ihsan UMP

Pada majlis itu, Tengku Abdullah turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan yang disampaikan Daing Nasir.

Tengku Abdullah berkata, graduan juga harus mengingati bahawa semua manusia adalah insan biasa di sisi Allah walaupun mereka selepas ini memegang jawatan dan berkedudukan tinggi.

"Kita tidak hanya dituntut mempunyai akauntabiliti terhadap urusan duniawi di rumah atau di tempat kerja, tetapi turut menggalas akauntabiliti dalam hubungan kita dengan Allah yang sentiasa menilai gerak-geri dan tindak tanduk kita dari saat dilahirkan hinggalah ke saat kembali kepada-Nya.

"Bagi saya inilah makna integriti dan akauntabiliti yang sebenar-benarnya," katanya.

Sementara itu, Tengku Abdullah menghargai penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan yang bukan untuk diri baginda semata-mata sebaliknya seluruh keluarga terutama Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan bonda, Almarhum Tengku Ampuan Afzan.

"Pengiktirafan ini memberikan suntikan semangat untuk saya terus istiqamah menunaikan amanah kepemimpinan diberikan Paduka Ayahanda sebagai Pemangku Raja Pahang di samping tanggungjawab saya sebagai Canselor UMP," katanya.

Berita Harian X