;
Sabtu, 18 November 2017 | 4:03pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah Ke-32 di Hongkod Koisaan Penampang. - Fo0to BERNAMA

Terima kasih Tan Sri Pairin - PM

wfaizal@bh.com.my

PENAMPANG: Datuk Seri Najib Razak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang akan bersara selepas 32 tahun menerajui parti berkenaan.

Sambil melahirkan rasa sedih, Perdana Menteri berkata, Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah adalah pemimpin yang setia kepada Barisan Nasional (BN) serta banyak menyumbang terhadap pembangunan negeri serta negara sepanjang berada dalam politik dan kerajaan.

"Hari ni dalam kita seronok (hadir Kongres PBS), ada juga kesedihan kerana pemimpin agung PBS iaitu Tan Sri Pairin, ini adalah kongres terakhir beliau sebagai Presiden.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau, sumbangan Huguan Siou atau pemimpin agung kepada masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di Sabah atas segala sumbangan yang cukup besar dicurahkan kepada perjuangan kita bersama, bukan sahaja untuk KDM, malah kepada Sabah dan negara kita," katanya.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata demikian di akhir ucapan beliau ketika merasmikan Kongres PBS Ke-32 di hadapan kira-kira 5,000 penyokong BN termasuk 1,400 perwakilan di Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Timbalan Presiden PBS yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Sementara itu, Najib turut yakin Dr Maximus mampu meneruskan perjuangan PBS dan meminta ahli parti itu supaya memberi sokongan penuh terhadap kepemimpinan baharu nanti.

"Kita harap semangat dan roh perjuangan Tan Sri Pairin akan terus bertiup dalam kalangan kita, saya yakin Dr Maximus mampu teruskan perjuangan PBS.. saya dan Tan Sri Musa bersama kepemimpinan PBS akan terus berada dalam satu keluarga besar BN yang kukuh," katanya.

Terdahulu, Pairin, 77, dalam ucapan aluan dan dasarnya, berkata ucapan beliau kali ini adalah yang terakhir di Kongres PBS sebagai Presiden sebelum menyerahkan kepemimpinan parti itu kepada Dr Maximus.

Pairin yang mengetuai PBS sejak penubuhan parti itu 32 tahun lalu, sebelum ini telah menyerahkan kepada Dr Maximus bagi menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden kerana akan bersara daripada politik, selain menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada PRU-14.

647 dibaca
Berita Harian X