Ahad, 19 November 2017 | 3:20pm
EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh. - Foto Ramdzan Masiam

Kerajaan Pulau Pinang tak endah nasihat

GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang masih tidak mengambil serius nasihat agensi kerajaan berhubung langkah keselamatan bagi mengelak berlakunya bencana.

EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, ketika dihubungi BH, hanya menjelaskan beliau tidak boleh memberi sebarang ulasan lanjut berhubung syor yang dikemukakan Jabatan Perhutanan itu semalam.

"Lebih baik wakil daripada Jabatan Perhutanan negeri datang dan bincangkan perkara ini secara terus dengan saya. Kita sedia untuk menerima sebarang nasihat daripada mana-mana pihak. Bagaimanapun, keputusan mengenainya hanya akan dimuktamadkan selepas ia dibincangkan dalam jawatankuasa khas nanti," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung, Datuk Nor Alhiruddin Mahmud, mengesyorkan kerajaan Pulau Pinang membina tembok penghadang di lereng bukit yang berisiko berlaku runtuhan tanah berdekatan taman rekreasi.

Langkah itu perlu kerana struktur tanah di kawasan berkenaan kurang kukuh dan boleh menyebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang seperti yang berlaku di beberapa taman rimba seliaan jabatan itu susulan kejadian banjir pada 5 November lalu.

Dalam kejadian itu, hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air sehingga 1.5 meter dan meragut tujuh nyawa.

Pada 2 November lalu, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 119 kejadian banjir kilat direkodkan berlaku sejak 2013 hingga 15 Oktober lalu.

1029 dibaca
Berita Harian X