Isnin, 20 November 2017 | 7:15pm
PRESIDEN ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto BERNAMA

ANGKASA sedia bantu bangunkan semula KOBERA

KUANTAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sedia membantu membangunkan semula gerakan Koperasi Bela Rakyat (KOBERA) di negara ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya akan membantu ahli KOBERA dengan cara mengemaskini akaun mereka dan mengatur semula mesyuarat agung bagi memastikan pelaksanaan KOBERA kembali aktif.

"ANGKASA juga akan melaksanakan pelbagai program termasuk kursus jati diri bagi memberi pendedahan dan kefahaman kepada ahli mengenai koperasi.

"Mereka juga akan turut dibantu dengan perancangan perniagaan yang sesuai supaya tidak menjadi ahli koperasi yang tidak aktif dan berstatus 'dorman' ", katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Bengkel Pembangunan KOBERA negeri Pahang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Pahang Zon 1, Mohd Zahidi Husain.

Program selama dua hari bermula hari ini bertujuan memberi pendedahan berterusan kepada ahli koperasi mengenai peluang dalam bidang perniagaan serta menerapkan mentaliti ingin mengubah taraf kehidupan dalam kalangan ahli.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, kegagalan mengadakan mesyuarat agung, akaun tidak diaudit dan tiada pelaksanaan aktiviti dalam tempoh tiga tahun adalah faktor berlakunya penurunan bilangan ahli KOBERA.

Katanya, kira-kira 292 KOBERA direkodkan sehingga 31 Jun lalu dengan jumlah keahlian sebanyak 17,600.

"Berdasarkan jumlah berkenaan, kita kenal pasti ada yang berstatus dorman dan tidak aktif tetapi secara keseluruhan masih tersenarai dalam rekod kami. Di Pahang, terdapat sebanyak 16 KOBERA direkodkan dan lapan daripadanya berstatus dorman dan tidak aktif membabitkan Zon 1 dan 2.

"Kita berharap pihak kerajaan negeri dapat bersama membantu KOBERA dengan menyediakan peruntukan supaya ahli berpeluang menjana ekonomi sekali gus dapat melatih mereka dalam bidang keusahawanan," katanya.

181 dibaca
Berita Harian X