Selasa, 21 November 2017 | 3:23pm
ABDUL Razak Muda (dua dari kanan) beramah mesra dengan pegawai bomba yang menerima sijil di Majlis Apresiasi dan Perhimpunan Bulanan JBPM Kedah 2017. - Foto Noorazura Abdul Rahman

66 maahad tahfiz gagal patuhi aspek keselamatan kebakaran

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan semua 66 maahad tahfiz yang diperiksa di seluruh negeri ini, gagal memenuhi keseluruhan spesifikasi aspek keselamatan kebakaran ditetapkan, termasuklah dari segi pemasangan jeriji.

Pengarah JBPM Kedah, Abdul Razak Muda, berkata perkara itu dikenal pasti selepas JBPM selesai membuat pemeriksaan secara menyeluruh bulan lalu di 66 maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK).

Justeru, beliau berkata hasil laporan pemeriksaan itu sudah dikemukakan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri semalam bagi tindakan susulan.

"Antara aspek paling banyak gagal dipatuhi oleh maahad tahfiz terbabit ialah kekurangan alat pemadam api dan ketiadaan tangga kedua, terutama bagi bangunan yang mempunyai asrama dan jeriji tingkap dan pintu yang tidak mengikut standard bomba.

"Jeriji ini antara yang paling penting apabila kebanyakan kes mangsa kebakaran gagal membuka jeriji berikutan ia dipasang secara kekal atau dikunci dengan mangga.

"Jika mengikut standard bomba, mereka perlu memasang jeriji yang boleh dikunci dan dibuka dari dalam tanpa menggunakan mangga dan dalam masa yang sama ia tidak boleh dibuka dari luar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi dan Perhimpunan Bulanan JBPM Kedah 2017 di Dewan Bakti Balai Bomba Penyelamat (BBP) Alor Setar, di sini.

Abdul Razak, berkata pihaknya tidak berhasrat untuk mengeluarkan notis arahan memberhentikan operasi maahad tahfiz terbabit kerana memahami mereka tidak dapat mengikut semua spesifikasi itu atas faktor kekangan kewangan.

Katanya, adalah lebih baik pihaknya bekerjasama dengan jabatan serta agensi secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi memastikan semua maahad tahfiz itu dapat dibantu untuk memenuhi spesifikasi keselamatan berkenaan.

"Kita ada ramai tukang yang boleh membantu untuk menaik taraf bangunan maahad tahfiz terbabit supaya dapat mengikut spesifikasi yang bomba tetapkan, namun dalam masa yang sama ia memerlukan kerjasama secara NBOS agar peruntukan yang disalurkan kerajaan dapat digunakan ke arah terbabit.

"Selepas ini, JPBM Kedah akan meneruskan pemeriksaan ke sekolah agama lain mengikut kategori yang didaftar dibawah kerajaan mahupun JAIK," katanya.

Mengikut rekod, sejak 2014 hingga Oktober 2017 terdapat lapan kes kebakaran membabitkan sekolah pondok dan maahad tahfiz di negeri ini.

91 dibaca
Berita Harian X