Rabu, 22 November 2017 | 3:31pm

PERKESO bayar RM506 juta tuntutan kepada pencarum

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membayar kira-kira RM506 juta tuntutan pelbagai faedah kepada pencarumnya dari Januari hingga September lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abu Mutalib berkata, tahun lalu jumlah bayaran tuntutan faedah yang sama adalah RM611 juta manakala pada 2015, sebanyak RM550 juta dibayar kepada pencarum.

Katanya, kerajaan mengambil berat isu bayaran tuntutan faedah tapi dalam masa yang sama tidak mahu wang caruman itu dibazirkan untuk tujuan itu saja.

Justeru, katanya Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO menyediakan pelan pemulihan bagi membolehkan pekerja yang mengalami kecederaan dan kecacatan dibantu dan kembali bekerja semula.

"Banyak program pemulihan pekerja dilaksanakan dengan pelbagai agensi dan dilaksanakan sendiri PERKESO.

"Kementerian Sumber Manusia sejak 2012 menubuhkan Pusat Pemulihan Pekerja di Melaka menjadi yang terbesar di Asia.

"Dalam tempoh 10 tahun dari 2007 hingga 2017 seramai 17,369 pekerja melalui pemulihan dan kembali bekerja. Mereka ini ada yang kembali bekerja dengan majikan yang sama dan ada yang menceburi bidang baharu sesuai dengan keadaan fizikal, kemampuan serta kemahiran yang adanya," katanya.

Ismail menjawab soalan tambahan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang ingin mengetahui mengenai pelan pemulihan untuk pekerja yang mengalami kecacatan kekal serta kajian semula syarat mendapatkan pencen ilat PERKESO.

Beliau menjelaskan kementerian dan PERKESO sentiasa membuat semakan format dan syarat untuk pencen ilat bagi memastikan kebajikan pekerja di ambil kira sesuai tuntutan masa dan persekitaran.

"Kita tidak mahu tenaga kerja dalam negara dibazirkan kerana ada antara pekerja yang hilang upaya ini masih boleh bekerja, "katanya.

Menjawab soalan asal Boon Chye mengenai bilangan pencarum yang dapat kelulusan Lembaga Perubatan untuk berhenti kerja, Ismail, berkata seramai 524,047 ahli mendapat pelbagai faedah PERKESO sehingga September lalu.

Katanya, sehingga kini jumlah pencarum PERKESO terkumpul adalah 16.43 juta orang yang mana 6.6 juta orang adalah pencarum aktif, manakala 1.08 juta majikan berdaftar dan hanya 426,435 majikan saja yang aktif.

Berita Harian X