X
Rabu, 22 November 2017 | 3:40pm
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye (dua dari kiri) diiringi Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman (kiri) bersama dengan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tanah Putih selepas majlis pelantikan Pengerusi MCPF daerah Pahang dan Perlancaran Kelab Pencegahan Jenayah dibawah sekolah angkat MCPF di Jalan Teluk Sisek. - Foto Zulkepli Osman
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye (dua dari kiri) diiringi Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman (kiri) bersama dengan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tanah Putih selepas majlis pelantikan Pengerusi MCPF daerah Pahang dan Perlancaran Kelab Pencegahan Jenayah dibawah sekolah angkat MCPF di Jalan Teluk Sisek. - Foto Zulkepli Osman

Program pencegahan dadah perlu dikaji semula

KUANTAN: Pihak berkuasa diminta mengkaji dan menilai semula program pencegahan serta pendidikan berkaitan dadah di sekolah bagi menangani ancaman peningkatan kes berkenaan di peringkat awal.

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, program pencegahan penyalahgunaan dadah itu juga perlu diperbaiki, diperhalusi dan dipergiat untuk menentukan keberkesanannya dalam menghapuskan gejala tidak sihat berkenaan.

"Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengenal pasti 402 sekolah sebagai kawasan panas bagi masalah disiplin dan dadah. Oleh demikian, program pencegahan yang akan dilaksanakan selepas ini mestilah membabitkan polis, ibu bapa dan guru, serta badan bukan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengerusi MCPF Bagi Daerah-daerah di Pahang di Villa SAS di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman dan Pengerusi MCPF negeri, Datuk Johny Ch'ng Ewe Gee.

Lam Thye berkata, sindiket dadah kini mensasarkan pelajar sekolah untuk meningkatkan jumlah pelanggan berpotensi mereka.

"Walaupun terdapat aktiviti penguatkuasaan di negara ini, sindiket dadah masih aktif dan kini memberi tumpuan kepada generasi muda untuk mengembangkan pasaran dadah mereka," katanya.

Berdasarkan maklumat Kementerian Pendidikan, Lam Thye berkata, methamphetamine adalah dadah yang paling banyak digunakan oleh pelajar di negara ini berdasarkan statistik dari awal tahun ini hingga 31 Julai lalu.

"Daripada 1,410 pelajar yang ditangkap kerana mengambil dadah dalam tempoh berkenaan, 75.68 peratus daripada mereka mengambil methamphetamine, ganja (16.73 peratus), candu (5.17 peratus), amphetamine (2.23 peratus) dan ketamine (0.19 peratus).

"Rekod Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan bilangan kes penagihan dadah di Malaysia meningkat sebanyak 14 peratus kepada 30,844 pada tahun 2016 berbanding 26,668 pada tahun 2015," katanya.

Beliau juga berkata, pada tahun 2016, sebanyak 826 daripada mereka yang ditangkap berusia bawah 19 tahun, manakala 22,709 atau 73.6 peratus lagi adalah antara 19 dan 39 tahun," katanya.

Justeru, beliau meminta kerjasama daripada semua lapisan masyarakat termasuk NGO, persatuan komuniti, sektor korporat, ibu bapa, guru dan majikan diperlukan untuk memastikan keberkesanan inisiatif untuk menangani ancaman sosial yang serius ini.

"Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan negara terutamanya generasi muda daripada ancaman dadah dan masalah jenayah," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X