Rabu, 22 November 2017 | 6:17pm
KETUA Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Datuk Yasmin Mahmood.

MDEC cadang rangka kerja modal teroka patuh syariah

KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merancang untuk membentuk satu rangka kerja Ekonomi Digital Islam (IDE) yang komprehensif yang antaranya merangkumi rangka kerja patuh syariah bagi pembiayaan modal teroka.

Selain itu, rangka kerja itu juga akan mengandungi rangka kerja halal dan patuh syariah, rangka kerja pembiayaan dan kewangan, rangka kerja kawal selia IDE dan rangka kerja operasi perniagaan halal.

Rangka kerja itu akan dibangunkan dengan kerjasama di antara MDEC, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Hall Amanie Sen Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata ketika ini banyak syarikat pemula niaga atau 'startup' yang berminat untuk membangunkan produk dan penyelesaian khusus untuk pasaran Islam.

Katanya, peningkatan minat itu dipacu oleh peluang pasaran Islam di peringkat global yang dianggarkan bernilai AS$3 trilion (RM12.36 trilion).

"JAKIM mempunyai standard pensijilan halal yang sangat utuh untuk produk farmaseutikal, kosmetik, makanan dan minuman.

"Sekarang ini kami berhasrat mahu menggunakan standard pensijilan halal JAKIM yang diiktiraf ramai pihak termasuk di peringkat dunia ini untuk menjadikan pembiayaan modal teroka sebagai patuh syariah.

"Ketika ini semua pembiayaan modal teroka yang ada di Malaysia adalah konvensional dan tiada lagi yang patuh syariah," katanya ketika ditemui pemberita di luar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), di sini, hari ini.

Yasmin berkata, beliau percaya pembentukan rangka kerja itu mampu meningkatkan pertumbuhan pasaran halal Malaysia.

"Ia kerana kami berharap untuk menarik lebih banyak syarikat pemula niaga dari seluruh negara terutama mereka yang membangunkan penyelesaian Islam," katanya.

Berita Harian X