Khamis, 23 November 2017 | 11:09am

PPSR tunjuk pencapaian baik

PUTRAJAYA: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang kali pertama dilaksanakan tahun ini menunjukkan pencapaian yang baik, dengan beberapa komponennya menunjukkan peningkatan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata PPSR yang merangkumi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) menunjukkan pencapaian terperinci murid Tahun Enam dalam keempat-empat komponen, sekali gus akan dinilai untuk langkah penambahbaikan.

Amin berkata, prestasi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) secara keseluruhannya meningkat pada tahun ini, dengan 93,514 calon mencapai penguasaan tahap minimum, peningkatan 1.6 peratus berbanding tahun lalu.

"Peratusan calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu gred E turun sebanyak 0.9 peratus, iaitu 30.2 peratus pada tahun ini berbanding 31.1 peratus pada 2016.

"Calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum iaitu Gred E dalam semua mata pelajaran turun sebanyak 0.7 peratus iaitu 1.5 peratus pada tahun ini berbanding 2.2 peratus pada tahun lalu," katanya pada sidang media PPSR di sini, hari ini.

Selain itu katanya, seramai 8,958 calon mendapat semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan satu peratus berbanding tahun lalu.

Di bawah komponen PAJSK, seramai 24,612 calon (5.6 peratus) menunjukkan pembabitan sangat aktif dalam kokurikulum, 302,018 calon (68.9 peratus) aktif dan 100,331 calon (22.9 peratus) pada tahap memuaskan.

"Melalui ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) di bawah komponen ini, seramai 398,987 murid Tahun Enam (92.2 peratus) melepasi tahap kecergasan fizikal yang memuaskan, 27,031 murid (6.2 peratus) pada tahap kurang cergas dan 3,644 peratus murid (0.8 peratus) tidak cergas," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengambilan Indeks Jisim Badan (BMI) murid Tahun Enam, seramai 58,294 murid (13.8 peratus) didapati mempunyai berat badan berlebihan, 56,584 murid (13.4 peratus) berisiko berat badan berlebihan dan 40,347 murid (9.5 peratus) mempunyai kurang berat badan, manakala 268,314 murid (63.4 peratus) berada pada tahap normal.

Sementara itu, Amin berkata, melalui tujuh konstruk Inventori Kecerdasan Pelbagai (IKeP) yang dijalankan di bawah komponen PPsi bagi melihat kecenderungan murid, konstruk eksistensial mencatatkan kecenderungan murid tertinggi iaitu 77.7 peratus, diikuti intrapersonal (77.3 peratus), interpersonal (68.9 peratus) dan naturalistik (63.2 peratus).

Amin berkata, bagi PBD, ia dijalankan di sekolah dalam semua mata pelajaran berdasarkan tahap penguasaan murid dan bukan untuk perbandingan individu.

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin ketika mengumumkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah 2017 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X