Khamis, 23 November 2017 | 2:00pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Khairull Azry Bidin

Pindaan RUU Dadah Berbahaya dibentang

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, yang memperuntukkan pindaan supaya hakim mempunyai budi bicara dalam menjatuhkan hukuman selain mati mandatori.

RUU bacaan kali pertama itu dibentangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, selepas tamat sesi soal jawab lisan di Parlimen.

Azalina berkata, bacaan kali kedua dan ketiga pindaan RUU itu dijangka dibuat pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

Di bawah pindaan yang dicadangkan dalam RUU itu, ia bertujuan meminda subseksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta 234.

Pindaan dicadangkan itu bagi memberi mahkamah kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali bagi kesalahan pengedaran dadah.

Bagaimanapun, menurut RUU itu, dalam menjatuhkan hukuman pemenjaraan seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali sebatan, mahkamah hanya boleh mengambil kira mana-mana hal keadaan yang dinyatakan dalam perenggan baharu 39B (2A)(a)(b) atau (c) yang dicadangkan.

Mahkamah hendaklah mengambil kira akan perakuan secara bertulis oleh pendakwa raya yang mana pada penentuan pendakwa raya, orang yang disabitkan di bawah subsekyen 39B (2) sudah membantu agensi penguatkuasaan dalam mengendalikan aktiviti pengedaran dadah di dalam dan luar Malaysia.

Bantuan kepada agensi penguatkuasaan dalam mengendalikan aktiviti pengedaran dadah itu termasuklah pemberian maklumat yang membawa penangkapan, penahanan atau pendakwaan mana-mana orang yang terbabit dengan apa-apa aktiviti pengedaran dadah.

Menerusi cadangan pindaan RUU itu juga, tanpa perakuan secara bertulis pendakwa raya, mahkamah tidak boleh menjalankan kuasanya untuk menjatuhkan hukuman terhadap orang yang sudah disabitkan dengan pemenjaraan seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, walaupun hal sedemikian dinyatakan dalam perenggan 39B (2A)(b) atau (c) yang dicadangkan itu, wujud.

Sementara itu, RUU itu juga hendaklah terpakai kepada individu yang dituduh namun belum disabitkan di bawah seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh mahkamah.

Cadangan pindaan baharu ini tidak terpakai bagi kes yang menunggu rayuan, di mana kes itu perlu melalui proses wajar sedia ada.

Sebelum ini Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyatakan pindaan itu sebagai cadangan fleksibel kepada kerajaan, iaitu selepas hakim mahkamah menyuarakan mereka sukar menjatuhkan hukuman mati mandatori sekiranya tertuduh atau pesalah tidak patut dikenakan hukuman berkenaan.

Beliau juga memberi contoh kes keldai dadah, di mana mangsa diperdaya dan hanya melakukan perbuatan membawa dadah untuk mendapatkan bayaran, biarpun tidak tahu barang yang dibawa, namun peruntukan hukuman adalah mati mandatori.

Berita Harian X