Khamis, 23 November 2017 | 4:16pm
KEDAI D'mart pada sesi taklimat projek rintis FELDA 2.0: Lembah Digital Bilut di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. - Foto Aswadi Alias.
TIMBALAN Pengarah Besar (Pembangunab Ekonomi), Haniff Ahmad Norilah (kanan) ketika melawat kedai D'mart pada sesi taklimat projek rintis FELDA 2.0: Lembah Digital Bilut di Kampung Lurah Bilut, Bentong, Pahang. - Foto Aswadi Alias.

FELDA Lurah Bilut bandar pintar pertama

BENTONG: Kira-kira 6,000 penduduk FELDA Lurah Bilut, di sini, bakal menikmati taraf kehidupan sama seperti di bandar menerusi pelaksanaan projek Lembah Digital Bilut.

Menerusi projek perintis di bawah inisiatif FELDA 2.0 itu, FELDA Lurah Bilut akan menjadi tanah rancangan pertama menjadi bandar pintar, dengan sasaran meletakkan penempatan itu di dalam peta digital.

Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Ekonomi) FELDA, Haniff Ahmad Norilah, berkata projek Lembah Digital Bilut bakal mentransformasikan FELDA Lurah Bilut dengan pembangunan infrastruktur serta modal insan.

Katanya, projek yang dijangka mengambil masa lima tahun itu bukan saja membolehkan penduduk menggunakan Internet berkelajuan tinggi, malah membuka peluang ekonomi, khususnya dalam aspek usahawan digital, pertanian moden serta ekopelancongan kepada penduduk setempat.

"Asas projek ini adalah untuk menarik orang luar, sama ada pelancong atau pelabur, datang ke FELDA Lurah Bilut, di samping mengekalkan penduduk setempat, khususnya generasi selepas peneroka dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada mereka.

"Projek ini bermula dengan pembangunan infrastruktur asas, khususnya capaian Internet berkelajuan tinggi sehingga 100Mbps menggunakan jalur lebar gentian optik, dijangka selesai pada April depan.

"Capaian Internet itu bakal menjadi pemangkin dan disokong dengan pembangunan infrastruktur lain seperti Muzium FELDA, inap desa, taman rekreasi, ruang perniagaan Dataran Tun Razak, landskap sungai serta laluan pejalan kaki di tebing sungai sebagai tarikan pelancong.

"Kami juga merancang menambah baik Titian Tun Razak yang memiliki nilai nostalgia dan sejarah, selain meningkatkan kualiti air Sungai Bilut dan Sungai Kertau ke tahap kelas satu (boleh diminum) yang mengelilingi FELDA Lurah Bilut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Projek FELDA 2.0: Lembah Digital Bilut, di sini, hari ini.

Sesi taklimat itu disertai wakil syarikat subsidiari FELDA serta beberapa agensi yang terbabit dalam pelaksanaan projek berkenaan, antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Haniff berkata, FELDA Lurah Bilut dipilih sebagai lokasi projek perintis itu kerana ia adalah tanah rancangan pertama dibangunkan pada 1958 oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya, lokasi FELDA Lurah Bilut juga strategik dengan tempoh pejalanan kira-kira satu jam dari ibu negara, selain 16 kilometer dari bandar Bentong, yang akan menjadi sebahagian daripada lokasi stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Lebuh raya Central Spine Road yang menghubungkan Pahang dan Kelantan juga bakal dibina berhampiran FELDA ini dan Dataran Tun Razak berpotensi menjadi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) mini, khususnya bagi pengguna laluan itu dan jalan berhampiran," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pemasaran Inovasi UPM, Dr Mohamad Fakri Zaky Jaafar, berkata FELDA Lurah Bilut berpotensi menjadi tapak Pertanian Agro Berteknologi Tinggi yang dibangunkan universiti itu.

"Kawasan ini boleh dijadikan lokasi pertanian dalam bangunan menggunakan digital pintar. Usahawan luar boleh melabur, manakala penduduk menjadi pengurus tapak yang mengawal kadar suhu serta cahaya diterima tanaman.

"Ikan tengas yang ada di Sungai Bilut juga boleh dijadikan tarikan pelancong, selain menjadi antara lokasi dalam pakej ekopelancongan ditawarkan UPM," katanya.

Ketua Jabatan Pembangunan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi SKMM, Bukhari Yahya, berkata pihaknya membantu menyediakan capaian Wi-Fi hampir di seluruh kawasan FELDA Lurah Bilut, selain mempercepatkan penyediaan Internet berkelajuan tinggi serta menaik taraf talian telefon mudah alih."

FELDA Lurah Bilut bakal menjadi tanah rancangan pertama memiliki Internet berkelajuan 100Mbps. Lebih penting adalah melatih penduduk untuk terbabit dalam era digital bagi memastikan infrastruktur ini digunakan sepenuhnya," katanya.

2223 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »