Jumaat, 24 November 2017 | 3:07pm
PENGARAH APMM Wilayah Timur, Laksamana Pertama (Maritim) Zulkarnain Mohd Omar. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pemantauan udara tingkatkan imej Maritim Malaysia

KUANTAN: Kepercayaan kerajaan melantik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai peneraju operasi bagi pemantauan kawasan perairan negara mampu meningkatkan imej mereka dan tahap keselamatan, terutamanya komuniti nelayan.

Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Timur, Laksamana Pertama (Maritim) Zulkarnain Mohd Omar berkata, sudah pasti arahan itu adalah tanggung jawab besar dan cabaran terhadap kemampuan sebenar agensi berkenaan.

"Tugasan (pemantauan) ini memerlukan pergerakan aset yang banyak dan kita percaya ia boleh dilaksanakan dengan baik melalui kerjasama dengan pasukan keselamatan lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Perikanan negeri.

"Buat masa ini, kami masih mempunyai masalah membabitkan aset yang terhad, namun ia bukanlah satu alasan dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan. 

"Sudah pasti pemantauan berterusan di kawasan perairan negara, terutamanya di perairan Pantai Timur Semenanjung ini sangat penting bagi menjaga kepentingan nelayan yang sering berdepan ancaman pencerobohan nelayan asing," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Zulkarnain berkata, pihaknya sentiasa melakukan rondaan rutin di kawasan yang sering dilaporkan berlaku pencerobohan melalui laut dan menjalinkan hubungan rapat dengan komuniti nelayan melalui program Rakan Maritim (RAKAM) dikendalikan bersama TLDM. 

Katanya,  Maritim Malaysia Wilayah Timur boleh memaklumkan Ibu Pejabat Maritim Malaysia jika memerlukan perkhidmatan pemantauan dari udara dan pesawat bersesuaian akan dihantar oleh pusat operasi di Subang, Selangor.

"Sekarang pun kami sering mendapat kerjasama daripada pihak ibu pejabat jika memerlukan pesawat untuk tugasan pemantauan, cuma, buat masa ini, banyak digunakan untuk tujuan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Kita tidak ada masalah untuk melakukan pemantauan kerana isu kedaulatan perairan negara sangat penting dan tidak boleh dikompromi," katanya. 

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Maritim Malaysia sebagai agensi peneraju bagi penyelarasan aktiviti pengawasan udara di kawasan perairan negara. 

Pelantikan itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Penyelarasan Penggunaan Aset-Aset Udara Milik Agensi Kerajaan di parlimen berdasarkan tanggungjawab agensi itu dalam menjaga kesejahteraan dan keamanan Zon Maritim seperti termaktub dalam Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 (Akta 633).

Berita Harian X