Jumaat, 24 November 2017 | 7:29pm
PERSEMBAHAN animasi Upin Ipin secara langsung pada Karnival Upin Ipin di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
PERSEMBAHAN animasi Upin Ipin secara langsung pada Karnival Upin Ipin di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
PERSEMBAHAN animasi Upin Ipin secara langsung pada Karnival Upin Ipin di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. - Foto Aizuddin Saad
PERSEMBAHAN animasi Upin Ipin secara langsung pada Karnival Upin Ipin di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. - Foto Aizuddin Saad

Karnival Upin & Ipin masuk kalendar pelancongan

SERDANG: Karnival Upin & Ipin yang sering mendapat sambutan hangat, akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan, mulai tahun depan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata karnival itu sangat mustahak kerana ia mampu menarik pelancong yang ramai dari dalam dan luar negara.

Katanya, Upin & Ipin yang juga adalah duta pelancongan negara itu mempunyai tarikan tersendiri dan sudah cukup terkenal di negara luar.

"Saya lihat Karnival Upin & Ipin ini tidak kira di mana ia diadakan, pengunjungnya tetap ramai dan luar biasa.

"Kita akan minta penganjur tentukan tarikh dan akan masuk dalam kalendar negara sebagai aktiviti penting," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Upin & Ipin 2017, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd (LCP), Burhanuddin Md Zin.

Karnival kali ketiga itu membawa tema 'luar biasa', berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad.

Ia dibuka kepada pengunjung bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk sukan elektronik, tayangan filem dan gerai jualan.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, siri animasi Upin & Ipin bakal menemui peminatnya di India dalam masa terdekat selepas pihaknya menandatangani perjanjian bersama Disney India.

"Jika perkara berkenaan berjaya dilaksanakan, termasuk perjanjian sebelum ini bersama wakil dari China, watak popular ini akan berada di satu per empat dunia," katanya.

Beliau berkata, siri watak berkenaan turut menarik minat beberapa pelabur dari Asia Timur, yang ingin membelinya, namun setakat ini pihaknya belum berminat untuk menjual duta Malaysia itu.

Berita Harian X