Jumaat, 24 November 2017 | 8:36pm
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein . - Foto Yazit Razali
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein . - Foto Yazit Razali

Kabinet segerakan projek Poliklinik ATM, RKAT

 

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini bersetuju untuk menyegerakan pelaksanaan dua projek kebajikan anggota tentera di Kem Penrissen di Kuching, Sarawak.

Kedua-dua projek itu adalah pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan naik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem tentera berkenaan.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di laman Facebook rasminya.

Katanya, Kabinet menyatakan persetujuan itu ketika beliau membentangkan laporan kepada Jemaah Menteri, sebagai usaha berterusan kerajaan membela kebajikan anggota tentera, keluarga dan veteran ATM.

"Ia satu perkembangan yang amat melegakan, apatah lagi soal kebajikan anggota dan veteran ATM serta ahli keluarga mereka sememangnya amat dekat di hati saya dan menjadi keutamaan tertinggi saya sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

"Saya harap perkembangan ini memberi mesej jelas kepada pihak berkepentingan supaya dapat melaksanakan projek ini dengan baik dan berkesan.

"Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersikap sambil lewa serta mengabaikan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka, termasuklah dalam kalangan pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM, agensi kerajaan serta pihak kontraktor," katanya.

Projek pembinaan Poliklinik ATM di Kem Penrissen itu dibina di atas tapak seluas kira-kira 72 hektar dengan anggaran kos RM31 juta.

Hishammuddin juga pernah mengumumkan pelaksanaan projek naik taraf tiga blok Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Penrissen dengan peruntukan kira-kira RM570,000, pada Februari tahun lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X