Sabtu, 25 November 2017 | 5:25pm
LEE Kaw Seng membantu anaknya Lee Ming Xuan (dua dari kiri) memakai kain pelikat, sambil diperhatikan Lee You Quan (dua dari kanan) dan Lee You Jin. - Foto Sharul Hafiz Zam

3 beradik Cina berkhatan serentak

JITRA: "Anak saya sendiri yang mahu berkhatan bersama kanak-kanak lain. Mereka juga teruja dan gembira ketika disembur air oleh pihak bomba sebelum dikhatankan," kata Lee Kaw Seng, 40, bapa kepada tiga beradik.

Kehadiran Lee You Jin, 4; Lee You Quan,7; dan Lee Ming Xuan, 10, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pumpong, mencuri perhatian orang ramai apabila berkhatan bersama 57 lagi kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun.

Majlis berkhatan serentak anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mahsuri itu di Dewan Orang Ramai Taman Mahsuri, di sini hari ini.

Kaw Seng berkata, mereka sekeluarga yang tinggal di kawasan kejiranan Melayu mengetahui mengenai kebaikan berkhatan ini untuk kebersihan dan kesihatan diri.

"Sebaik mengetahui ada majlis berkhatan dianjurkan pihak KRT ini, saya terus bertanya dengan anak-anak sama ada mahu atau tidak, sebelum mereka bersetuju untuk berkhatan.

"Tiga anak saya pun sememangnya berkawan dengan orang Melayu dan aktiviti ini tidak menyebabkan mereka rasa pelik sebaliknya teruja untuk mengikuti majlis ini," katanya.

Ming Xuan pula berkata, walaupun sakit sedikit ketika berkhatan namun dia berjaya mengawal perasaan malah tidak sabar ingin kembali berenang selepas sembuh.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Mahsuri, Ahmad Shaker Ahmad berkata, majlis ini kali pertama diadakan disertai 60 orang, walaupun pada mulanya, ia dibuka untuk 50 peserta sahaja.

"Mereka hanya perlu membayar RM30 sahaja, manakala kos lain dibayar pihak KRT yang mendapat dana daripada sumbangan pelbagai pihak membabitkan kos keseluruhan RM13,000," katanya.

Di Baling, bayi berusia 25 hari menjadi peserta termuda antara 1,000 kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan perdana di Kompleks Rakan Muda, Batu 42, di sini, hari ini.

Bayi kedua pasangan Syazwan Mohd Ayob, 31, dan Siti Raudah Omar, 28, dari Kampung Seberang Ketil dikenali sebagai Syiab Azzuhri dibenarkan bersunat oleh doktor kerana sihat dan lebih mudah ketika bayi.

Syazwan berkata, doktor menasihatkan supaya lampin pakai buang kerap ditukar supaya tidak basah kerana bayi kerap membuang air kecil.

"Saya nekad untuk khatan anak kerana yakin lebih mudah dan ia adalah sunnah. Kami pada mulanya bercadang mengkhatankan sekali anak sulung kami, Suffian Assauri, setahun 10 bulan, tetapi memandangkan penjagaan rapi perlu dilakukan dan dia didaftarkan tahun depan," katanya.

Berita Harian X