Sabtu, 25 November 2017 | 6:50pm
PROSES pengebumian semula jenazah enam pejuang melayu Besut selepas dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Belanga, Jertih hari ni. - Foto Mohammad Ishak

Tulang pejuang Besut dikebumikan semula

JERTIH: Cebisan tulang enam pejuang Melayu daerah Besut yang dipindahkan dari kubur di Kem Kijang, Jalan PCB, Kota Bharu, Kelantan, pagi tadi, dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Belanga, di sini.

Upacara mengebumikan semula cebisan tulang Penggawa Wan Embong Wan Zainal; Yatim Ahmad (Imam Masjid Kampung Teluk) dan empat ketua kampung, Karim Abd Samad (Lepan Kejor), Husain Abdullah (Dengir), Othman Mamat (Bekok) serta Ismail Ahmad (Teluk) selesai jam 2.30 petang tadi.

Pengerusi jawatankuasa majlis pengebumian semula, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah, 78, berkata cebisan tulang pejuang terbabit tiba di Masjid Kampung Alur Keladi, dekat sini, kira-kira jam 1 tengah hari.

"Ia kemudian dimandi dan dikafankan semula sebelum disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Belanga, untuk dikebumikan dalam keadaan hujan renyai," katanya.

Kira-kira 100 ahli keluarga dan penduduk setempat hadir menyaksikan pengkebumian semula enam pejuang berkenaan, yang dibunuh oleh tentera Jepun.

Sementara itu seorang anak Allahyarham Karim, Abdul Samad Abdul Karim, 81, berkata beliau masih ingat detik sekumpulan lelaki berpakaian seragam menculik ayahnya ketika mereka sedang tidur, 72 tahun lalu.

"Ketika itu kami sedang tidur dan tiba-tiba dikejutkan ayah sebelum arwah dibawa keluar sekumpulan tentera Jepun. Ketika itu ayah seolah-olah dipukau kerana hanya mengikut sahaja arahan kumpulan lelaki itu," katanya. 

Bagaimanapun, katanya, berita penahanan enam pejuang terbabit diketahui apabila seorang hakim berbangsa Inggeris yang berkhidmat di Besut yang turut ditahan tentera Jepun tetapi dibebaskan, menceritakan nasib enam pejuang berkenaan yang dibawa ke Kota Bharu, untuk ditahan di kem tahanan.

"Selepas itu kami sekeluarga tidak pernah berjumpa ayah sehinggalah dimaklumkan arwah dibunuh tentera Jepun bersama-sama lima rakan lain dari Besut dan dikebumikan dalam satu kubur di Kem Kijang, Kota Bharu," katanya.

Enam pejuang berkenaan dipindahkan dari kubur di Kem Kijang yang terletak di tanah awam berhampiran sebuah kolej, yang ketika dahulu menjadi tempat pembunuhan pejuang menentang Jepun.

Semua enam mereka pemimpin Melayu yang cukup disegani di Besut kerana menentang kezaliman pemerintahan Jepun, namun ditangkap dan dibawa ke Kelantan sebelum dibunuh dan dikebumikan dalam satu kubur di kem berkenaan.

Berita Harian X