Ahad, 26 November 2017 | 8:20pm
MANGSA banjir di tempatkan di Pusat pemindahan SK Wakaf Raja. - Foto ihsan pembaca

Banjir mula landa Kelantan

KOTA BHARU: Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa daerah di Kelantan dilanda banjir dengan 176 mangsa dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat lewat petang tadi.

Sehingga jam 7 malam, seramai 40 keluarga ditempatkan di tujuh PPS membabitkan empat daerah iaitu Pasir Puteh, Tanah Merah, Kota Bharu dan Pasir Mas.

Daripada jumlah itu, Kota Bharu mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 84 mangsa daripada 18 keluarga yang ditempatkan di Pusat Latihan ABIM Ketereh diikuti 66 mangsa di Pasir Puteh.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup, berkata PPS pertama dibuka pada jam 12 tengah hari tadi di Kota Bharu.

PENDUDUK meredah banjir di Kampung Nering, Pasir Puteh selepas hujan lebat sejak Jumaat yang turut melanda beberapa daerah di Kelantan. - Foto ihsan pembaca

"PPS yang dibuka adalah Pusat Latihan ABIM Kelantan, Kok Lanas; Dewan Besar Melor, Kota Bharu; Madrasah Haji Daud, Pasir Mas; Sekolah Kebangsaan (SK) Kelewek, Tanah Merah; dan SK Changgai, SK Kamil 1 serta SK Wakaf Raja di Pasir Puteh.

"Kita jangkakan PPS bertambah kerana hujan lebat masih berterusan di beberapa daerah di Kelantan.

"Kita sedia membantu masyarakat terutama mangsa banjir di kawasan rendah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan lain, tiga jalan ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Kilometer (KM) 3.2 Jalan Bukit Sireh, Kuala Krai; di KM2 Jalan Sungai Mati Kerawang (Machang) dan di KM6.9 Jalan Machang, Machang.

Dua sungai utama berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Sungai Golok di Rantau Panjang masing-masing 21.87 meter dan 7.84 meter.

PENDUDUK meredah banjir di Kg Darang Buaya selepas hujan lebat sejak Jumaat yang turut melanda beberapa daerah di Kelantan. - Foto ihsan pembaca

Berita Harian X