Isnin, 27 November 2017 | 2:48pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat buku laporan pada majlis penyerahan rasmi surat pelantikan Ketua Nexus Produktiviti dan pelancaran Laporan Produktiviti Suku Tahunan di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA

Audit: Kadar produktiviti buruh lebih tinggi daripada sasaran

KUALA LUMPUR: Produktiviti buruh meningkat sebanyak 4.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini, berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6.2 peratus dan kadar pertumbuhan guna tenaga sebanyak dua peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kadar produktiviti buruh itu lebih tinggi daripada sasaran purata pertumbuhan tahunan sebanyak 3.7 peratus yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Beliau berkata, peningkatan produktiviti buruh disumbangkan oleh empat sektor utama iaitu pertanian sebanyak 5.2 peratus, pembuatan (5.1 peratus), pembinaan (4.8 peratus) dan perkhidmatan (3.7 peratus).

"Mesyuarat Produktiviti Negara (MPN) hari ini juga memutuskan soal produktiviti akan dijadikan sebahagian daripada agenda nasional yang diberi keutamaan tinggi oleh kerajaan dengan kerjasama pihak industri, swasta dan badan lain.

"Secara keseluruhannya, pencapaian produktiviti buruh setakat ini memberangsangkan dan ia selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai ekonomi yang didorong oleh produktiviti.

"MPN percaya kadar pencapaian berkenaan dapat dikekalkan untuk menghasilkan kadar pertumbuhan ekonomi yang mapan serta bersifat inklusif yang akan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan rasmi surat pelantikan Ketua Nexus Produktiviti dan pelancaran Laporan Produktiviti Suku Tahunan di Parlimen, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat MPN kali kedua dengan mesyuarat pertama berlangsung Mei lalu.

Mei lalu, tiga Nexus Produktiviti daripada subsektor elektrikal dan elektronik (E&E), kimia dan produk kimia serta peruncitan, makanan dan minuman ditubuhkan.

Hari ini enam lagi Nexus Produktiviti ditubuhkan iaitu bagi agro-makanan, jentera dan peralatan (M&E), pelancongan, penjagaan kesihatan swasta, perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan nasional.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat hari ini memutuskan supaya Majlis Pemantauan Produktiviti Kebangsaan (NOPC) yang dipengerusikan Menteri MITI dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan diserap di bawah MPN bagi memantau pelaksanaan di peringkat nexus supaya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan Blueprint Produktiviti Malaysia.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju ke atas pelan tindakan bagi subsektor E&E dengan empat strategi utama dengan 13 inisiatif digariskan untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Bagi membolehkan pemantauan yang efektif, MPN juga memutuskan supaya pencapaian produktiviti buruh dipantau dan dilaporkan secara suku tahunan.

"Oleh itu, Biro Statistik Buruh Malaysia di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia akan menerbitkan data produktiviti buruh suku tahunan dengan penerbitan pertama dilancarkan hari ini," katanya.

Sementara itu, Najib mahu industri dan perusahaan mengambil peluang ke atas program yang disediakan oleh Nexus Produktiviti yang bertindak sebagai pusat kecemerlangan bagi perkara berkaitan dengan peningkatan produktiviti di peringkat sektor dan perusahaan.

Beliau berkata, setiap Nexus akan diperuntukkan geran pelancaran sejumlah RM5 juta untuk menjalankan aktiviti awal dan Nexus dijangka akan menjana sumber kewangannya sendiri.

Katanya, terdapat sekurang-kurangnya 89 program kerajaan sedia ada boleh digunakan oleh industri dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.5 bilion bagi tempoh 2017 hingga 2020.

Perdana Menteri turut menyerahkan surat pelantikan kepada empat Pengerusi Nexus Produktiviti bagi subsektor iaitu Dr Nungsari Ahmad Radhi (agro makanan), Mac Ngan Boon (M&E), Uzaidi Udani (pelancongan) dan Choo Kok Beng (perkhidmatan profesional).

159 dibaca
Berita Harian X