Isnin, 27 November 2017 | 6:38pm
KANAK-KANAK mangsa banjir menghabiskan masa lapang dengan menyertai acara mewarna di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Cekap pindah tanpa diarah

KOTA BHARU: Gelombang pertama banjir di Kelantan menyaksikan penduduk segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

Tinjauan BH di Taman D Melor, Ketereh, di sini, bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Nazili Mahmood, mendapati paras air mencecah 0.3 meter iaitu di paras betis, namun kebanyakan penduduk sudah berpindah ke PPS berdekatan.

Penduduk mengakui tidak mahu mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' seperti sebelum ini kerana banjir Januari lalu memberi pengajaran apabila paras air naik mendadak.

Malah, penduduk juga tidak mengharapkan JBPM, sebaliknya mengambil inisiatif berpindah sendiri sebaik menyedari paras air semakin naik disusuli hujan lebat.

Nazili berkata, banjir kali ini menunjukkan penduduk lebih bersedia berpindah, bukannya lebih sayangkan dan mahu menjaga kediaman masing-masing.

"Sejak banjir melanda semalam, lebih 50 peratus mangsa banjir berpindah sendiri ke pusat pemindahan sementara. Ini adalah perkembangan bagus apabila penduduk sendiri bersedia berpindah tanpa diarah.

"Mungkin mereka sedar dan belajar daripada pengalaman banjir sebelum ini," katanya yang turut membuat tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh yang menempatkan 156 mangsa banjir.

Sementara itu, hujan lebat sejak kelmarin menyaksikan hampir 744 mangsa banjir dipindahkan di 14 pusat pemindahan di enam daerah sehingga petang ini.

Mangsa banjir membabitkan 197 keluarga itu ditempatkan di 14 PPS di enam daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, setakat jam 5 petang tadi, Kota Bharu mencatat 330 mangsa membabitkan 78 keluarga di tiga PPS.

657 dibaca
Berita Harian X