Selasa, 28 November 2017 | 10:23am

Audit: Prestasi kewangan, tadbir urus TVAH kurang memuaskan

KUALA LUMPUR: Al Hijrah Media Corporation (TVAH), stesen televisyen bersiaran Islam pertama di negara ini ditegur kerana prestasi kewangan, pengurusan akaun belum terima, amalan tadbir urus dan pengurusan kewangan serta pengurusan aktiviti utama yang kurang memuaskan.

TVAH, sebuah Syarikat Berhad menurut jaminan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang terbabit dalam aktiviti tidak bermotifkan keuntungan dengan melaksanakan aktiviti melalui sumber kewangan disalurkan Jabatan Perdana Menteri.

Bagi tempoh 2010 hingga 2016, geran berjumlah RM333.40 juta disalurkan kepada TVAH. Dana ini digunakan bagi perbelanjaan operasi dan pengurusan syarikat.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan semalam mendapati prestasi kewangan TVAH kurang memuaskan kerana merekodkan kerugian sebelum cukai bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

Pengauditan yang dijalankan pada Oktober 2016 hingga Februari lalu sebelum disusuli Mei lalu turut mendapati pengurusan akaun belum terima TVAH adalah kurang memuaskan kerana mengambil purata antara 107 hingga 256 hari untuk mengutip hutang.

"Amalan tadbir urus dan pengurusan kewangan TVAH juga kurang memuaskan kerana terdapat amalan yang tidak selaras dengan amalan tadbir urus terbaik, ketidakpatuhan prosedur kewangan dan prosedur perolehan syarikat.

"Pengurusan aktiviti utama daripada aspek rating penonton dan pendapatan jualan masa siaran membabitkan dua bidang yang diaudit adalah kurang memuaskan," menurut laporan itu.

Antara penemuan audit yang perlu diberi perhatian adalah terhadap objektif TVAH untuk menjadi penyiar yang mendidik, menghibur dan menyatupadukan ummah yang dilihat kurang berkesan kerana peratusan rating penonton yang rendah, malah pendapatan jualan masa siaran sebenar juga masih tidak mencapai sasaran.

Selain itu, proses penilaian rancangan yang lemah menyebabkan penilaian perolehan rancangan baharu dibuat dengan tidak konsisten, keberhasilan rancangan yang kurang berkualiti dan menarik, rancangan yang dibeli tidak dapat disiarkan dan wujud elemen pembaziran.

Ketiadaan wakil ahli Lembaga Pengarah Bebas TVAH yang mempunyai latar belakang industri penyiaran yang memberi kesan kepada pelaksanaan aktiviti/program TVAH juga disifatkan Jabatan Audit Negara sebagai isu yang perlu diberi perhatian.

Sehubungan itu, bagi memastikan TVAH memenuhi tujuan penubuhannya, Jabatan Audit Negara mengesyorkan pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah TAVH memberi pertimbangan terhadap perkara berikut:

i. melaksanakan strategi dan pelan tindakan yang lebih agresif bagi meningkatkan lagi rating penonton dan pendapatan jualan masa siaran. Ini bagi mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada geran kerajaan;

ii. mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyeluruh dalam perolehan rancangan baru supaya mendapat nilai terbaik daripada perbelanjaan yang dibuat.

iii. mewujudkan pematuhan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam pengurusan penghutang dan hutang lapuk

iv. melaksanakan amalan tadbir urus yang baik terutamanya daripada segi pemantauan Lembaga Pengarah, penyediaan SOP bagi aktiviti utama syarikat, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan melaksanakan kawalan dalaman yang berkesan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X