Selasa, 28 November 2017 | 12:00pm

Audit: MAVCAP tidak peroleh kebenaran bertulis Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR: Ketidakpatuhan Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) terhadap terma dan syarat asal penggunaan dana di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) antara kelemahan dikesan Jabatan Audit Negara.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2016 yang dikeluarkan semalam mendedahkan MAVCAP tidak mematuhi terma dan syarat yang menetapkan RM130 juta dana perlu digunakan untuk pembiayaan secara langsung modal teroka berkonsep Mudharabah, dan sejumlah RM70 juta bagi pembiayaan secara tidak langsung modal teroka di peringkat ASEAN (OSP3).

Sebaliknya, MAVCAP melaburkan sejumlah RM193.88 juta dana yang diterima dalam pelaburan Modal Teroka Korporat dan OSP3 yang tidak berkonsepkan Mudharabah.

"Dana berkenaan membuat pelaburan dalam syarikat tempatan di Malaysia dan juga ASEAN. Perubahan struktur pelaburan ini tidak memperoleh sebarang kebenaran bertulis daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu," kata laporan itu.

Kelemahan itu antara yang dikesan daripada hasil pengauditan dijalankan antara Mei hingga Ogos 2016, disusuli Julai hingga Ogos lalu terhadap MAVCAP yang bertindak sebagai pemangkin industri modal teroka negara dengan menyediakan pembiayaan modal teroka, pembiayaan kredit, kewangan ekuiti dan pelaburan perkongsian bersama individu, firma atau syarikat.

Aktiviti utama MAVCAP adalah menguruskan pelaburan modal teroka dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) melalui pelaburan langsung, Program Pengagihan Pengurusan Dana Modal Teroka (OSP1 dan OSP2) dan Dana Modal Teroka Korporat.

Di bawah RMKe-8 hingga RMKe-11, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menyalurkan dana berjumlah RM1.20 bilion dalam bentuk suntikan ekuiti, geran dan pinjaman kepada MAVCAP bagi melaksanakan aktiviti pelaburannya.

Hasil pengauditan, didapati secara keseluruhannya prestasi kewangan MAVCAP adalah memuaskan kerana mencatatkan penurunan dalam kerugian terkumpul pada akhir 2016 berjumlah RM97.28 juta dan peningkatan dalam tunai dan kesetaraan tunai pada setiap tahun.

Selain itu, amalan tadbir urus MAVCAP adalah memuaskan kerana aspek tadbir urus iaitu Pengerusi, Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan mengikut amalan terbaik.

Bagaimanapun, berdasarkan tiga aktiviti pelaburan membabitkan lapan bidang yang diaudit mendapati pengurusan aktiviti MAVCAP adalah kurang memuaskan.

Turut ditegur adalah kelemahan MAVCAP yang sehingga kini masih belum mencapai had optimum pembiayaan pelaburan dalam pasaran modal teroka negara. Bagaimanapun, MAVCAP mencapai jumlah komitmen pelaburan melebihi peruntukan yang diterima iaitu sebanyak 118.1 peratus (RMKe-9), 119.9 peratus (RMKe-10) dan 167.8 peratus (RMKe-11).

Bagi RMKe-8, MAVCAP hanya mencapai 73 peratus komitmen dalam pelaburan langsung dan pelaburan OSP1 disebabkan kegagalan syarikat pelaburan dan syarikat dana mencapai sasaran bagi pengeluaran.

Kelemahan lain, antara 2007 hingga Jun lalu, MAVCAP hanya dapat melunaskan bayaran balik berjumlah RM337.29 juta daripada pinjaman RMKe-8 berjumlah RM450 juta yang sepatutnya diselesaikan pada 2011.

Kegagalan MAVCAP membayar balik pinjaman mengikut jadual ditetapkan mengakibatkan MAVCAP dibebankan dengan amaun faedah lewat terkumpul berjumlah RM85.85 juta. Ini menjadikan komitmen keseluruhan MAVCAP terhadap pinjaman termasuk faedah lewat meningkat kepada RM198.56 juta.

Sehubungan itu, bagi memastikan objektif penubuhan MAVCAP tercapai dan memantapkan tadbir urus MAVCAP, Jabatan Audit Negara mengesyorkan beberapa tindakan antaranya mengoptimumkan penggunaan dana dikeluarkan kerajaan bagi mencapai matlamat dana disalurkan kerajaan pada setiap Rancangan Malaysia selaras dengan objektifnya untuk memacu perkembangan industri modal teroka negara.

Syor lain ialah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mewujudkan kaedah menetapkan kuantum yang munasabah daripada geran/pinjaman yang diberi bagi menampung perbelanjaan operasi MAVCAP, selain memastikan kelulusan Kementerian Kewangan diperoleh terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang pelaburan di luar terma dan syarat peruntukan dana/pinjaman.

Turun disarankan ialah supaya MAVCAP meneliti secara terperinci pemilihan pelaburannya, terutama pelaburan langsung supaya boleh menjana keuntungan yang berpatutan, menetapkan elemen pembayaran balik pinjaman kepada kerajaan sebagai antara sasaran Petunjuk Prestasi Utama syarikat, serta memastikan perkongsian yang akan dilaksanakan dengan syarikat pengurus dana serantau dan antarabangsa memasukkan kriteria menjaga kepentingan negara sebagai antara terma perjanjian untuk memberi fokus kepada industri modal teroka domestik.

Berita Harian X