Selasa, 28 November 2017 | 7:47pm
KETUA Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
KETUA Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Cepat melatah punca keliru kenyataan Ku Nan

KUALA LUMPUR: Sikap cepat melatah dan mengecam menyebabkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berhubung Universiti Teknologi MARA (UiTM), diputar belit.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata konteks kenyataan Tengku Adnan berbeza daripada tanggapan orang ramai kerana Menteri Wilayah Persekutuan itu hanya menyebut mengenai sejarah ketika Institut Teknologi MARA atau ITM (kini UiTM) ditubuhkan.

"Ketika ditubuhkan, antara tujuan ITM adalah memberi tempat kepada pelajar miskin yang mungkin lewat berkembang atau kurang cemerlang sewaktu persekolahan.

"Disebabkan itu, mereka diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi ITM. Fakta sejarah ini tidak boleh dinafikan.

"Itu adalah idea dasar UMNO untuk memberi tempat kepada anak Melayu yang mungkin tidak layak melanjutkan pengajian ke universiti lain, sebaliknya ke ITM dan menggenggam diploma," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Khairy diminta mengulas laporan portal berita mengenai Tengku Adnan atau Ku Nan didakwa memperkecilkan UiTM sebagai tempat pelajar kurang cemerlang dalam pendidikan ketika berucap pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017, Sabtu lalu.

Tengku Adnan hari ini memohon maaf secara terbuka atas perkara itu, sambil menegaskan ucapannya diputar belit bagi melaga-laga dirinya dengan UiTM, selain turut mengaku ia mungkin berpunca daripada mulutnya yang celupar.

Khairy berkata, kenyataan Tengku Adnan sama sekali tidak merujuk pada pelajar UiTM dalam konteks hari ini yang diakui antara yang terbaik di Malaysia.

"Mungkin kenyataan saya ini pun akan ada yang ambil sepotong ayat dan kata KJ (Khairy Jamaluddin) pun menteri bodoh. Saya pergi ke Oxford, saya tidak sebodoh itu," katanya secara sinis.

Berita Harian X