Selasa, 28 November 2017 | 8:07pm
PENGERUSI Gerakan Akar Umbi UMNO, Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah) menunjukkan laporan selepas membuat laporan polis berhubung hasutan ADUN Teratai, di Facebook, di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

GAUM tuntut tindakan terhadap ADUN Teratai

KOTA KINABALU: Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng, memuat naik status di laman sosial Facebook miliknya dengan memaparkan kenyataan berbaur fitnah, jelas berniat jahat.

Sehubungan itu, Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar, meminta pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan keras terhadap Way Keng.

Katanya, tindakan ADUN itu memuat naik status bersama borang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi kerakyatan kepada warga asing untuk mendapatkan undi amat dikesali.

"Walaupun JPN sudah membuat kenyataan menafikan borang berkenaan dikeluarkan agensi berkenaan, namun pihaknya percaya orang ramai ada yang sudah terpedaya dengan dakwaan itu.

"Status itu sudah viral di laman sosial dan aplikasi lain. Walaupun status itu sudah dipadamkan sepenuhnya tetapi ia memberikan persepsi negatif terutamanya kepada agensi kerajaan dan BN.

"Kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap ADUN Teratai ini. Beliau sepatutnya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkaitan sebelum membuat kenyataan itu untuk mengelakkan orang ramai terkeliru," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, di sini hari ini.

Zulkarnain berkata, tindakan itu bukan pertama kali dilakukan oleh pihak pembangkang lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka bakal diadakan tidak lama lagi.

"Tindakan tegas perlu diambil untuk memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak sesekali menyebarkan kenyataan palsu atau fitnah," katanya.

Berita Harian X