Rabu, 29 November 2017 | 12:45pm
Abdullah Yusof, 71 menaiki perahu mengharungi banjir sejauh 500 meter untuk ke jalan utama di Kampung Matang. - FotO Ghazali Kori

Banjir Terengganu: 17 tahun redah banjir guna sampan

KUALA BERANG: "Sudah 17 tahun saya terpaksa harungi banjir dengan menggunakan sampan setiap kali kawasan rumah ditenggelami air sehingga mencecah dua meter," itu luahan salah seorang mangsa banjir di Kampung Matang, di sini.

Warga emas, Hitam Idris, 65, berkata jarak rumah dengan jalan utama sejauh 500 meter memerlukan dia bersama lima lagi ahli keluarga termasuk suami, Abdullah Yusoff, 71, dan empat anak menggunakan sampan sebelum dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Walaupun setiap tahun kawasan rumah ditenggelami banjir, namun saya takut untuk berjalan meredah air kerana paras airnya sangat dalam.

"Oleh itu, suami dan anak-anak menyediakan sampan untuk kegunaan kami berpindah, namun, kami perlu bergilir-gilir menggunakannya kerana saiz sampan itu hanya boleh memuatkan dua orang sahaja.

"Bagaimanapun, sekiranya saya perlu berpindah, suami dan anak akan meminjam perahu lebih besar daripada rakan-rakannya untuk memuatkan barangan berharga," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Hitam berkata, kawasan rumahnya yang rendah selain berdekatan dengan sungai yang melimpah mengakibatkan kebanyakan penduduk di kampung berkenaan menghadapi nasib sama.

"Saya bersyukur kerana pihak kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang kami hadapi kerana setiap kali banjir ramai yang hadir menghulurkan bantuan.

"Malah, kami sekeluarga juga sudah membuat persiapan awal dengan menyimpan barangan eletrik dan motosikan di tempat tinggi," katanya.

Berita Harian X