Rabu, 29 November 2017 | 2:09pm
PENDUDUK Kota Bharu meninjau keadaan paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja yang semakin naik dan berada di paras amaran dengan bacaan 4.0 meter ekoran keadaan cuaca yang masih hujan berterusan di sini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Mangsa banjir di Kelantan meningkat 8,502

KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu menjadikan bilangan mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,502 mangsa dengan 100 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga jam 1.30 tengah hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 2,755 keluarga terbabit ditempatkan di PPS di sembilan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Jeli, Tumpat dan Bachok.

Berdasarkan laman ebanjir, Pasir Mas mencatat mangsa banjir paling tinggi membabitkan 4,318 orang daripada 1,683 keluarga ditempatkan di 36 PPS termasuk Sekolah Arab Lubok Gong, Rantau Panjang yang baru dibuka pada jam 10 pagi tadi berbanding 2,963 daripada 1,145 keluarga, jam 8.30 pagi hari ini.

Ia diikuti Kota Bharu dengan rekod seramai 1,457 mangsa membabitkan 368 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS.

Sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Tasik Pauh, Bukit Jawa, Pasir Puteh menjadikan keseluruhan lapan pusat dibuka bagi menempatkan seramai 671 mangsa daripada 216 keluarga.

Tanah Merah pula merekodkan 857 mangsa banjir daripada 245 keluarga sudah berpindah ke 21 PPS.

Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa memandangkan cuaca hujan lebat yang berterusan.

Berita Harian X