Rabu, 29 November 2017 | 5:02pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz. -Foto Mohd Fadli Hamzah

Gaji bawah RM3,100 tidak perlu bayar cukai pendapatan

KUALA LUMPUR: Hanya golongan berpendapatan bulanan lebih RM3,100 dikenakan cukai pendapatan mulai tahun depan, susulan keputusan kerajaan mengurangkan dua mata peratusan bagi kadar cukai pendapatan individu pemastautin.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, perubahan kadar cukai itu memberi implikasi terhadap tahap pendapatan mula dikenakan potongan cukai berjadual (PCB) yang sebelum ini bermula pada kadar RM2,851.

Beliau berkata, pengurangan daripada lima peratus kepada tiga peratus itu berupaya meringankan bebanan rakyat.

Memberi contoh pengurangan itu, beliau berkata, pembayar cukai yang berkahwin dan mempunyai tiga anak dengan pendapatan boleh cukai yang sebelum ini bermula RM4,351 akan ditingkatkan sehingga RM4,496.

"Kita sedar (pengurangan dua peratus) akan menyebabkan negara kehilangan RM1.23 bilion tetapi ia akan dibelanjakan semula dalam sistem ekonomi, sekali gus melonjakkan aktiviti ekonomi dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Kewangan (No 2) 2017 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Othman berkata, hanya 2.27 juta daripada 14.6 juta tenaga buruh yang direkodkan sehingga tahun lalu membayar cukai pendapatan individu.

Beliau berkata, walaupun ada 12.2 juta pekerja yang mempunyai rekod di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya 6.9 juta fail aktif dan daripada jumlah itu, hanya 2.27 juta yang membayar cukai pendapatan.

Sementara itu, katanya, cuma 168,244 syarikat daripada 1.08 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan LHDN dikenakan cukai.

Berita Harian X