Rabu, 29 November 2017 | 7:19pm
MANGSA banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Gual Tinggi. - Foto Fathil Asri

Banjir Kelantan cecah 12,833 mangsa

KOTA BHARU: Bilangan mangsa banjir di negeri ini mencatatkan 12,833 orang di pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun hujan sudah agak reda sejak beberapa jam lalu.

Pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurang daripada 100 kepada 98, pada jam 10.30 malam ini.

Daripada jumlah itu, 4,621 keluarga terbabit ditempatkan di PPS di sembilan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Jeli, Tumpat dan Bachok, manakala Gua Musang yang masih belum dinaiki air.

Berdasarkan laman eBanjir Kelantan, Pasir Mas mencatat mangsa banjir paling tinggi membabitkan 7,980 orang daripada 3,310 keluarga ditempatkan di 44 PPS termasuk Masjid Kubang Pak Hitam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Meranti yang dibuka jam 8 malam tadi.

Ia diikuti Kota Bharu dengan rekod seramai 1,440 mangsa membabitkan 363 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

Tumpat menyaksikan sebuah lagi PPS dibuka di SK Sri Tumpat 2 pada 8 malam tadi, menjadikan empat PPS yang menempatkan 575 mangsa daripada 188 keluarga, manakala Pasir Puteh merekodkan 819 mangsa daripada 244 keluarga di lapan PPS.

Bagaimanapun, Tanah Merah menyaksikan penurunan kepada 652 mangsa banjir daripada 192 keluarga di 14 PPS berbanding 907 orang pada jam 7.30 malam tadi, memandangkan hujan berhenti sejak lewat petang tadi.

Sementara itu, 21 jalan masih ditutup kepada semua kenderaan membabitkan daerah Kota Bharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah, manakala enam jalan hanya ditutup kenderaan ringan.

Pasir Mas paling banyak jalan ditutup kepada semua kenderaan, antaranya Pasir Mas-Pohon Tanjung, Jalan Lubok Jong-Bulatan Pohon Tanjong, Jalan Dalam Bandar Rantau Panjang, serta Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah.

Bacaan hujan di 23 stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di seluruh Kelantan pula menunjukkan penurunan termasuk Empangan Bukit Kwong, Pasir Mas dengan 438 milimeter (mm) semalam, berbanding 46 mm hari ini manakala stesen Gunung Gagau, Gua Musang menunjukkan peningkatan kepada 54 mm berbanding 22 mm semalam.

Berita Harian X