Khamis, 30 November 2017 | 3:43pm
PRESIDEN Kelab UMNO Artis Tanahair (KUAT), Datuk A Rahman Hassan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PRESIDEN Kelab UMNO Artis Tanahair (KUAT), Datuk A Rahman Hassan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUAT sokong penuh MANTAP

KUALA LUMPUR: Ilmu dan kebijaksanaan yang diperoleh semua mahasiswa di negara ini atas peluang, keistimewaan dan keselesaan diberikan pemimpin negara seharusnya dipulangkan semula dalam bentuk sokongan kepada kerajaan.

Mengulas mengenai internship Mahasiswa Turun Padang (MANTAP) dalam mendekati generasi muda membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), Presiden Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT), Datuk A Rahman Hassan, berkata setiap mahasiswa perlu merenung kembali jasa pemimpin negara dalam membantu menyediakan pelbagai keselesaan untuk mereka menuntut ilmu.

"KUAT menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam melaksanakan kempen MANTAP yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya mahasiswa untuk mendekati generasi muda menghargai sumbangan kerajaan.

"Kita jangan jadi orang yang lupa jasa, bagaimana kedudukan anak-anak Melayu yang dulunya sukar untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti, tetapi dengan ruang dan peluang diberikan kerajaan, semakin ramai anak Melayu berjaya dalam bidang yang diceburi," katanya yang dihubungi BH.

Sementara itu, KUAT yang dianggotai warga selebriti tanah air bersedia untuk memberikan khidmat kepada kerajaan dalam membantu kempen PRU14 akan datang.

"Penubuhan KUAT pada dasarnya adalah untuk menyatakan penghargaan warga seni kepada kerajaan yang selama ini tidak pernah lupa kepada kami dengan menyediakan pelbagai kemudahan, perkhidmatan, keistimewaan yang boleh dinikmati hingga kini.

"Kini kami bersedia untuk berkhidmat kembali kepada kerajaan dalam membalas jasa agar kami tidak menjadi orang yang muda lupa diri," katanya.

Berita Harian X