X
Khamis, 30 November 2017 | 7:24pm
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melawat pameran sebelum majlis Hari Inovasi KKLW 2017 di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melawat pameran sebelum majlis Hari Inovasi KKLW 2017 di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Budayakan inovasi dan kreativiti - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Pembudayaan inovasi dan kreativiti secara terancang lagi konsisten mampu melonjakkan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata inovasi kini menjadi tanda aras global yang mendorong kepada keupayaan penciptaan idea atau inisiatif strategik yang baharu, unik dan bermanfaat serta berfungsi sebagai pemangkin pembangunan ke arah kesejahteraan negara.

"Penghasilan inovasi secara berterusan dan berimpak tinggi dapat meningkatkan kecekapan sesuatu proses atau penyampaian perkhidmatan, sekali gus memastikan keberlangsungan dan kemampanan dalam mengharungi cabaran ke arah menjadi sebuah negara maju.

"Kita mesti seiring dengan senario global yang mana idea inovasi dan kreativiti akan menghasilkan transformasi ke arah lonjakan perubahan persekitaran sesebuah negara, mahupun organisasi yang lebih mencabar dari segi ekonomi, sosial, budaya dan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Inovasi KKLW 2017 bertemakan 'Inovasi Pemacu Transformasi Luar Bandar' di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, warga KKLW juga perlu sentiasa berfikir seperti orang Jepun dan Korea yang mana pada setiap hari bekerja mereka sentiasa menzahirkan idea demi meningkatkan produktiviti organisasi dan pembangunan negara.

"Jika dilihat cara kerja orang Jepun dan Korea, mereka begitu kreatif dan inovatif dalam menghasilkan pelbagai idea, malah turut berjaya mengubah gaya hidup masyarakat dunia.

"Justeru, warga kerja KKLW harus keluar daripada cara kerja yang jumud dan tidak anjal kepada cara kerja baharu yang lebih mesra rakyat dan bertindak di luar kelaziman selain sentiasa meningkatkan serta mereka cipta lebih banyak produk inovasi.

"Inovasi yang dihasilkan bukan sekadar bertujuan menyertai pertandingan atau mendapat pengiktirafan semata-mata, tetapi tumpuan hendaklah diberikan kepada pengukuhan inovasi secara berterusan," katanya.

Tambah beliau, sambutan hari inovasi yang turut menjadi acara tahunan KKLW mencerminkan betapa pentingnya membudayakan inovasi dan kreativiti bagi sentiasa meletakkan KKLW di landasan yang paling efisyen dalam mencipta dan menyerlahkan keunikan sesuatu produk atau perkhidmatan.

"Ia selaras dengan Agenda 4 Transformasi Negara yang berpaksikan kepada inovasi dan kreativiti yang menjurus kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap," katanya.

Pada majlis sama, Ismail Sabri menyampaikan enam Anugerah Kualiti dan Inovasi KKLW 2017 kepada agensi-agensi kementerian yang bertanding.

Anugerah Kualiti Kecekapan Tadbir Urus dimenangi oleh RISDA; Anugerah Kualiti Pengurusan Perolehan (KEMAS); Anugerah Kualiti Pengurusan Keselamatan Perlindungan (KKLW); Anugerah Kualiti Penilaian Outcome Terbaik (MARA-Sistem Pembayaran Kontrak Ekspress).

Sementara itu, Anugerah Kualiti Inovasi Perkhidmatan Awam dimenangi MARA dan Anugerah Kualiti Inovasi Perkhidmatan Awam (RISDA-QLulut) dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta sijil penghargaan.

Berita Harian X