Jumaat, 1 Disember 2017 | 11:39am
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di [email protected] - Foto Effendy Rashid
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di [email protected] - Foto Effendy Rashid

Jauhi sifat melampau, amalkan kesederhanaan - Sultan Nazrin

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Malaysia dihormati dalam kalangan negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama.

Titah baginda, kesucian dan nama baik Islam pada hari ini bagaimanapun semakin dicalarkan oleh perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu yang membenarkan petugas melakukan pelbagai tindakan atas tujuan mahu menguatkuasakan peraturan untuk melindungi Islam.

"Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen seksaan dan deraan, telah memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini.

"Allah tidak sama sekali menurunkan sebarang kuasa kepada sesiapa pun untuk menghukum seseorang itu sebagai ahli syurga atau neraka. 

"Islam juga tidak mengizinkan perbuatan memulau mana-mana kumpulan atau memutuskan silaturahim dengan mana-mana individu, hingga ke tahap penghinaan tidak mahu menguruskan jenazah seseorang individu yang telah meninggal dunia, hanya berpunca daripada perselisihan tafsiran dan pandangan.

"Perbuatan sedemikian adalah perbuatan melampau dan keterlaluan yang sangat bercanggah dengan sifat mulia yang dipamerkan Rasulullah SAW," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Aman Jaya di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin serta barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Titah baginda, perbuatan dan tindakan sedemikian wajib dihentikan dan dibanteras secara tegas.

Sultan Nazrin bertitah, Islam menganjurkan kesederhanaan dan oleh itu majoriti umat yang berpegang kepada amalan kesederhanaan, wajib bangun bersuara dan tidak sama sekali merelakan diri untuk ditenggelami oleh kumpulan ekstrem yang minoriti.  

"Umat Islam hendaklah mengembalikan azam dan tekad untuk mendekatkan ummah dengan Allah, menjadikan Islam pakaian luaran dan pegangan dalaman, melalui pendekatan dakwah secara berhikmah," titahnya.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut mengingatkan umat Islam untuk tidak mencari dan mengintai kesalahan orang lain yang merupakan pencerobohan terhadap kehormatan manusia.

Titah baginda, tegahan itu adalah untuk menjauhi prasangka dan merupakan perintah Allah disusuli dengan larangan terhadap mencari kesalahan orang lain.

"Sesungguhnya, syariat diturunkan dengan salah satu tujuannya untuk menjaga kehormatan manusia," titah baginda.

Berita Harian X