Jumaat, 1 Disember 2017 | 2:48pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PDRM tubuh pasukan khas siasat kerugian Forex

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga tukaran wang asing (Forex) Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pasukan yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh, itu ditubuhkan semalam sejurus laporan polis berhubung perkara berkenaan diterima.

"Kita telah menerima laporan itu dan akan menyiasat perkara ini dari semua sudut.

"Setakat ini, pasukan khas ditubuhkan bagi meneliti kes ini... beri kami masa," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.

Ditanya sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan ketika itu, akan dipanggil untuk diambil keterangan, beliau berkata mereka akan dipanggil sekiranya perlu.

"Siasatan baru diambil alih Bukit Aman... jangan buat sebarang andaian. Mereka akan dipanggil berdasarkan keputusan siasatan yang kita lakukan," katanya.

Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia pada 1990-an, Datuk Dr Yusof Ismail, membuat laporan polis berdasarkan syor dan rumusan RCI mengenai kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan.

Yusof dilaporkan berkata, laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan rasmi ke atas kesalahan pecah amanah, jenayah dan penipuan serta lain-lain kesalahan yang mungkin dilakukan pihak dinyatakan dalam laporan suruhanjaya itu.

Laporan setebal 400 muka surat itu dibentangkan di Parlimen semalam. - BERNAMA

Berita Harian X