Jumaat, 1 Disember 2017 | 4:28pm
NOR Syamsita Hussin menunjukkan ikan budu yang dijualnya di Pasar Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Ikan 'budu' laris musim tengkujuh

TUMPAT: Meskipun aromanya membuatkan ramai yang terpaksa menutup hidung, tetapi sebaik dimasak menjadi juadah, ikan budu atau lebih dikenali pekasam pasti menjadi rebutan.

Banyak muncul pada musim tengkujuh, ikan budu yang diperap dengan asam jawa atau asam keping bersama garam kasar dan dilumur ke atas ikan sebelum disimpan selama dua atau tiga bulan.

Kedatangan musim tengkujuh amat dinantikan penggemar ikan budu, malah ramai yang berkunjung ke pasar untuk membeli ikan berkenaan.

Seorang peniaga ikan di Pasar Tumpat, Nor Syamsita Hussin, 37, berkata sejak beberapa hari lalu dia mula menjual ikan budu hampir 10 kilogram (km) setiap hari.

"Ikan budu ini saya buat sendiri menggunakan resipi dari arwah ibu dan proses memerap bermula beberapa bulan menjelang musim tengkujuh.

"Biasanya saya menggunakan ikan yang tidak habis dijual dan bagi mengelakkan membazir, saya menghasilkan ikan budu," katanya ketika ditemui di Pasar Tumpat.

Antara jenis ikan yang dihasilkan menjadi ikan budu adalah ikan kembung, selayang, tongkol, gelama, betong dan muduk.

Harganya pula dikira berdasarkan jenis dan saiz ikan semurah RM1 seekor iaitu ikan selayang manakala paling mahal adalah ikan muduk yang berharga RM15 seekor.

Pelanggan ikan budu, Mohd Afandi Mohamad, 47, berkata boleh dikatakan seminggu sekali dia akan ke Pasar Tumpat membeli kerana juadah itu sangat sedap dinikmati pada musim hujan.

"Biasanya saya akan beli dua atau tiga ekor ikan dan cukup untuk stok dalam seminggu kerana ikan ini tidak juga dianggap sebagai lauk utama.

"Pelbagai cara masakan boleh dihasilkan sama ada digoreng hancur bersama telur dan bawang, dibuat gulai lemak kuning atau dijadikan sambal," katanya.

Berita Harian X