Jumaat, 1 Disember 2017 | 8:20pm
MANGSA, Limah Muda, 72 yang enggan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) walaupun rumahnya sudah dinaiki air di Kampung Kijing. - Foto Ghazali Kori

Mangsa banjir di Marang meningkat

KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di Terengganu meningkat selepas 211 orang dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tiga daerah iaitu Marang, Besut dan Kuala Nerus.

Berdasarkan kemas kini Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu pada jam 8 malam ini, Marang mempunyai paling ramai mangsa dipindahkan iaitu 176 orang membabitkan empat PPS berbanding hanya 38 yang dilaporkan tengah hari tadi.

Sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nenas, Kuala Nerus untuk menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga petang tadi.

Di Besut, sebuah PPS masih beroperasi bagi menempatkan 21 mangsa daripada tujuh keluarga yang terjejas akibat banjir.

Difahamkan, PPS turut dibuka di daerah Dungun dan Kuala Terengganu selepas penduduk diarah berpindah namun jumlah sebenar belum dapat dipastikan.

Satu PPS di Setiu sudah ditutup dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah selepas air di perumahan mereka dilaporkan surut selain cuaca baik.

708 dibaca
Berita Harian X