Sabtu, 2 Disember 2017 | 10:29am
KETUA Polis Daerah Kuala Terengganu Assistan Komisioner Idris Abd Rafar (kiri) ketika mengadakan tinjauan di Kampung Jeram Hilir, semalam.- Foto Aslina Abu Bakar

Mangsa banjir di Terengganu catat peningkatan

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu merekodkan sedikit peningkatan kepada 600 orang daripada 169 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 503 pada 10 malam tadi.

Mengikut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, jumlah itu membabitkan 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah, iaitu di Besut, Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu.

Marang merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 368 orang (108 keluarga) di empat PPS, Setiu seramai 65 mangsa (14 keluarga) di dua PPS dan dua PPS di Kuala Nerus menempatkan 54 mangsa (14 keluarga).

Di Dungun pula, seramai 47 mangsa (12 keluarga) berada di satu PPS, Kuala Terengganu membabitkan 45 mangsa (15 keluarga) dan Besut seramai 21 orang (enam keluarga) masing-masing juga di satu PPS.

Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran pada9 pagi ini, paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu merekodkan bacaan 21.44 meter (m) melebihi aras amaran 20.75 m, manakala Sungai Chalok di Jambatan Chalok, di Setiu juga merekodkan peningkatan dengan bacaan 8.1 meter (m) melebihi 7.7 m.

Begitu juga dengan Sungai Marang, Jambatan Pengkalan Berangan mencatatkan peningkatan aras air hingga 2.39 m melebihi aras amaran iaitu 2.3 m. - BERNAMA

Berita Harian X