Sabtu, 2 Disember 2017 | 1:28pm
DATUK Seri Hamzah Zainudin semasa sidang media selepas merasmikan Multaqa Tahun Gasma 2017 kali kedua di Seameo Recsam, Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
DATUK Seri Hamzah Zainudin (kanan) menandatangi merasmikan Multaqa Tahun Gasma 2017 kali kedua di Seameo Recsam, Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

KPDNKK beri penerangan isu kos sara hidup

GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan turun padang memberi penerangan kepada rakyat berhubung isu kos sara hidup.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata rakyat berhak mengetahui dan memahami keadaan ekonomi semasa serta pengurusan kewangan yang betul bagi mengelakkan perbelanjaan di luar kawalan.

"Apabila kita bercakap mengenai kos sara hidup, kita perlu lihat kepada banyak elemen dan bukan mengenai harga barang sahaja.

"Paling utama adalah konsep ukur baju di badan sendiri, kawal perbelanjaan dengan mengutamakan barangan keperluan, bukan kehendak atau kemahuan.

"Di peringkat kerajaan sendiri, kita membantu meningkatkan pendapatan semua golongan, selain golongan berpendapatan rendah menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Multaqa Tahunan Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) Kali Kedua di Gelugor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Mufti Makkah, Sheikh Dr Sulaiman As Salumni.

Hamzah berkata, KPDNKK akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang ketika musim banjir.

"Saya memberi amaran, terutama kepada peniaga di kawasan terjejas banjir supaya jangan naikkan harga barang. Setakat ini tiada sebarang aduan lagi mengenai perkara berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Penasihat GASMA, berkata gabungan itu bukan ditubuhkan untuk menghukum mana-mana pihak, sebaliknya ia bermatlamat menyebar luas fahaman itu yang berlandaskan al-Quran dan hadis sahih.

"Apabila kita sebut Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan kita mahu hukum orang lain. Yang penting adalah untuk beritahu bahawa kita mengikut dalil dan berada di landasan yang benar.

"Jika ada kumpulan atau fahaman lain, itu adalah hak kerajaan untuk tentukan. Ia bukan bidang kuasa kita untuk jatuhkan hukuman atau sebagainya," katanya.

575 dibaca
Berita Harian X