Ahad, 3 Disember 2017 | 6:43pm
EXCO Srikandi Malaysia, Zuraini Kamal bersama pemimpin Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (dari kiri) Sopi Aziz, Rukiza Abu Bakar, Halimaton Saadiah Shah Mat dan Fatimah Ahmad hadir pada sidang media di Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid

Lima pemimpin Srikandi PPBM keluar parti

ALOR SETAR: Lima pemimpin Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) termasuk seorang EXCO Srikandi Malaysia, Zuraini Kamal, mengumumkan keluar parti hari ini selepas kecewa dengan kepemimpinan parti itu.

Empat lagi ialah Ketua Srikandi PPBM Bahagian Pendang, Halimaton Saadiah Shah Mat; Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi PPBM negeri yang juga Ketua Srikandi Bahagian Pokok Sena, Rukiza Abu Bakar serta AJK Srikandi PPBM Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad.

Zuraini yang juga Ketua Srikandi Bahagian Kuala Kedah, berkata keputusan itu, antara lain didorong oleh isu perpecahan dalam PPBM, budaya fitnah serta tidak boleh membuat teguran.

Beliau juga mendakwa wujud rombakan jawatan yang menyaksikan dua individu dilantik pada kedudukan sama, sehingga mengakibatkan mereka tawar hati dan hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan.

Bagaimanapun, beliau menafikan tindakan mereka itu kerana menerima tajaan daripada mana-mana pihak.

"Setelah berfikir panjang dan berbincang, kami mengambil keputusan melepaskan semua jawatan EXCO Srikandi Malaysia, Ketua Srikandi bahagian serta meninggalkan PPBM berkuat kuasa serta-merta.

"Kami dimaklumkan ramai lagi sudah keluar PPBM tetapi berdiam diri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zuraini mendakwa terlalu banyak isu dan polemik yang berlaku dalam PPBM tetapi tidak diuruskan dengan baik dan ditangani secara serius oleh pucuk pimpinan parti itu.

"Memang benar PPBM baharu setahun jagung, namun pemimpinnya sangat berpengalaman. Usia PPBM di peringkat penajaan tidak boleh dijadikan alasan.

"Kami mencadangkan kepada pemimpin (PPBM) mendengar suara akar umbi untuk mengelakkan penghijrahan beramai-ramai ahli keluar parti. Kami kecewa kerana tiada perubahan dalam parti ini," katanya.

Beliau juga mendakwa berlaku budaya fitnah dalam PPBM tetapi tiada siasatan dilakukan, selain ramai ahli diketepikan atau ditukar jawatan hanya kononnya ada salah laku.

"Ini sangat berbahaya dan mereka pula tidak berpeluang membela diri," katanya.

Zuraini berkata, walaupun pihaknya cuba memberikan pandangan dan teguran melalui saluran yang betul kepada kepemimpinan parti, malangnya jawatan mereka pula dirombak.

"Rombakan jawatan menyebabkan dua individu dilantik atas kedudukan sama. Ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, sekali gus memecahbelahkan keharmonian di peringkat bahagian... belum pernah ada bahagian wujud dua ketua srikandi.

"PPBM sepatutnya amalkan bersatu, bukan saling kata-mengata dan kipas-mengipas, " katanya.

Zuraini juga mendakwa sering menggunakan wang sendiri bagi menjalankan program parti di peringkat bahagian ketika bersama PPBM.

Berita Harian X