Selasa, 5 Disember 2017 | 4:33pm

Konsep 'makan dalam taman' menanti perwakilan PAU 2017

KUALA LUMPUR: Tujuh ribu kilogram (kg) ayam, 4,000 kg daging kambing, masing-masing 5,000 kg daging lembu dan ikan serta 5,500 kg beras antara bahan mentah bagi penyediaan hidangan untuk lebih 135,000 perwakilan dan petugas sepanjang lima hari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 berlangsung.

Bahan mentah lain yang digunakan untuk enam hidangan setiap hari sepanjang PAU yang bermula hari ini antaranya, 600 kg tepung gandum, gula (500 kg), telur (1,300 biji), bawang (700 kg), udang (3,800 kg), sotong (4,000 kg), sayuran (2,000 kg), santan (1,500 liter) dan buah-buahan, 3,200 kg.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Datuk Shamsul Kamar Ahmad, berkata pasukan cef PWTC bertanggungjawab dalam menyediakan makanan dan minuman kepada perwakilan, petugas dan pengunjung dengan 90 peratus adalah masakan Melayu atau hidangan kampung.

Katanya, pasukan cef menyediakan hidangan untuk kira-kira 30,000 orang secara purata setiap hari.

Beliau berkata, operasi 24 jam PWTC diurus kira-kira 400 kakitangan tetap termasuk 80 peratus kakitangan operasi dibantu 1,000 pekerja sambilan yang kebanyakannya bertugas di Jabatan Penyeliaan Makanan dan Bankuasi.


ORANG ramai yang hadir ke Kafe Rakyat RM6 untuk makan tengahhari pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Pihak pengurusan PWTC mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan terperinci, manakala gerak kerja dimulakan secara berperingkat sejak enam bulan lalu.

"PAU 2017 berkonsepkan 'makan dalam taman' dengan pihak pengurusan membuat dekorasi dalam dewan makan perwakilan sebagai taman," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan dewan persidangan termasuk bahagian dapur PWTC, hari ini.

Antara hidangan yang disediakan ialah ayam masak hitam utara, ayam masak kari kerisik, ayam masak lemak cili api, kambing kuzi, daging kalio daun salam, kambing rendah minang, ikan tenggiri asam pedas, daging masak opor cili hijau, sambal udang petai, sotong masak kari dengan nanas, sotong goreng kunyit dan daging gulai kawah dengan peparu serta limpa.

PWTC turut memperkenalkan Kafe Rakyat yang menyajikan hidangan menu istimewa seperti set kombo makanan dan minuman pada harga RM6 sahaja kepada pengunjung.

Antara menu istimewa di kafe yang beroperasi jam 7 pagi hingga 9 malam ialah nasi campur tiga lauk dengan minuman kordial, roti canai kari ayam dengan teh tarik serta nasi lemak dengan minuman panas.

Shamsul Kamar berkata, bermula tahun ini, pihaknya turut memperkenalkan kaedah pengenalan identiti frekuensi radio (RFID) bagi memantapkan tahap keselamatan bertujuan mengelak kesesakan ketika imbasan selain menambah baik keselamatan bagi mengatasi kes penyamaran identiti.

Beliau berkata, bagi menjamin tahap keselamatan berada pada paras optimum, Jabatan Keselamatan PWTC mengambil butiran penuh senarai nama pekerja sambilan, kontraktor dan pembekal makanan untuk tujuan pemantauan.

"Senarai nama diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan tapisan bagi memastikan makanan dan minuman dibekalkan berada dalam keadaan selamat.

"Pihak pengurusan turut memperkenalkan sistem kawalan kualiti di kawasan penerimaan dengan dibantu Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk tujuan pemantauan kualiti makanan bagi mengelak sebarang kemungkinan keracunan makanan atau sebarang unsur sabotaj," katanya.

INFO
Jumlah anggota keselamatan sepanjang PAU 2017:

  • PDRM - 1,200 orang

  • Angkatan Pertahanan Awam Malaysia - 40 orang
  • Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) - 400 orang
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat - 35 orang
  • Unit Perubatan - 40 orang
  • Sekuriti PWTC - 50 orang
ORANG ramai yang hadir ke Kafe Rakyat RM6 untuk makan tengahhari pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X