Rabu, 6 Disember 2017 | 8:39pm
SEBAHAGIAN peserta Program Travelog Ilmu Siri 4/2017 'Risiko Ketagih Skrin' anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) bergambar bersama dengan panel jemputan Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan (duduk, kiri) dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Azul Mohamad Salleh (duduk, kanan). Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif IYRES Dr Zainah Shariff (duduk, dua dari kanan). - Foto Nursyahirah Marzuki

Ketagihan gajet mirip ketagih dadah

PUTRAJAYA: Memberi anak gajet sehingga mereka ketagih, tidak ubah seperti memberi mereka dadah.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan, berkata penggunaan skrin, termasuk telefon pintar, tablet atau televisyen yang berlebihan atau berterusan boleh mengakibatkan gejala hampir sama seperti dialami individu ketagihan dadah.

"Terlalu obses atau ketagihan skrin ini sama seperti ketagihan dadah kerana terlalu bergantung kepada perkara itu dan ia seperti rasa gian jika berhenti menggunakan gajet.

"Sebagai contoh, anak kita yang bermain 'game', kelakuan mereka akan lebih agresif, pernafasan laju, kelenjar adrenalin dan dopamine meningkat, kesannya sama seperti ketagihan kokain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Travelog Ilmu Siri 4/2017 'Risiko Ketagih Skrin' anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr Zainah Shariff serta Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Azul Mohamad Salleh.

Hanina Halimatusaadiah berkata, ketagih skrin boleh menyebabkan kerosakan otak terutama pada kanak-kanak di bawah usia lima tahun kerana mereka tidak memiliki keseimbangan yang sihat antara masa bermain telefon dan masa melakukan kegiatan lain.

"Usia dua tahun hingga lima tahun adalah masa untuk pertumbuhan kanak-kanak, termasuk perkembangan psikososial.

"Dalam lingkungan umur ini, kanak-kanak perlu bersosial dan bukan latih otak mereka dengan 'game' yang akan memberi tekanan kepada psikologi," katanya.

Sementara itu, Mohd Azul berkata, ibu bapa perlu mengawal kekerapan anak mereka menggunakan skrin gajet untuk mengelakkan kanak-kanak ketagih.

"Ibu bapa juga perlu mengawasi isi kandungan yang dilihat anak-anak, bukan sahaja kanak-kanak, malah remaja," katanya.

Berita Harian X