Khamis, 7 Disember 2017 | 3:24pm
PENDUDUK dan pelancong di Pulau Tioman bakal menikmati perkhidmatan telekomunikasi, terutama internet lebih baik apabila projek sistem kabel dasar laut Kuala Rompin-Pulau Tioman siap penghujung tahun 2019. - Foto hiasan NSTP

Perkhidmatan telekomunikasi ditingkatkan di Pulau Tioman

KUANTAN: Penduduk dan pelancong di Pulau Tioman bakal menikmati perkhidmatan telekomunikasi, terutama internet lebih baik apabila projek sistem kabel dasar laut Kuala Rompin-Pulau Tioman siap penghujung tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahaniza Shamsuddin, berkata projek yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) itu membabitkan pemasangan rangkaian gentian optik dari Kuala Rompin ke Tioman sepanjang 74 kilometer (km).

Katanya, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan industri pelancongan di pulau peranginan berkenaan dengan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

"Projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti perkhidmatan telekomunikasi, bermula Ogos lalu dan dijangka siap penghujung 2018 dengan kapasiti awal 100 Gigabit sesaat (Gbps) dan boleh dinaik taraf bergantung kepada keperluan semasa.

"Apabila projek ini siap, ia mampu menyelesaikan isu kapasiti yang terhad bagi perkhidmatan selular dan internet jalur lebar di Tioman," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain itu, Shahaniza berkata, sebanyak 105 Pusat Internet 1Malaysia diwujudkan di seluruh negeri ini sebagai usaha kerajaan meningkatkan sistem telekomunikasi dan jalur lebar.

"Pada masa ini, SKMM masih menjalankan kajian untuk mengenal pasti kesesuaian lokasi yang dicadangkan pemimpin masyarakat setempat untuk fasa seterusnya," katanya.

Shahaniza berkata, kerajaan juga akan giat menjalankan projek perluasan perkhidmatan selular menerusi pembinaan 90 menara baharu di seluruh negeri, termasuk 11 di FELDA Gugusan Sungai Koyan, Lipis sehingga Lembah Bertam, Cameron Highlands dalam tempoh dua tahun bermula tahun hadapan.

Katanya, ia bagi menambah 321 menara selular yang dibina di seluruh negeri ini sejak 2011 khususnya di luar bandar, kampung tradisional dan kawasan terpencil memerlukan liputan telekomunikasi.

"Mengikut statistik SKMM sehingga suku kedua tahun ini, kadar penembusan perkhidmatan selular di negeri ini adalah sebanyak 130.9 peratus bagi setiap 100 penduduk, manakala 134 peratus untuk peringkat nasional," katanya.

Mengenai projek perluasan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar, Shahaniza berkata, SKMM akan menaik taraf 197 menara sedia ada dengan kerjasama syarikat telekomunikasi bagi meningkatkan perkhidmatan di luar bandar.

"Bermula 2014 sehingga 2017, SKMM dengan kerjasama syarikat perkhidmatan selular sudah menaik taraf dan memperluaskan liputan internet jalur lebar tanpa wayar di 430 menara sedia ada yang hanya mempunyai perkhidmatan 2G kepada 3G, 4G dan LTE.

"Ia dilaksanakan berikutan peningkatan penggunaan data internet jalur lebar di kalangan masyarakat luar bandar, mengikut statistik kadar penembusannya di Pahang kini ialah 75.1 peratus bagi setiap 100 penduduk berbanding 103.6 peratus di peringkat nasional," katanya.

82 dibaca
Berita Harian X