Khamis, 7 Disember 2017 | 7:03pm
PERWAKILAN Kedah, Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin pada majlis Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad


Tukar strategi tangani fitnah pembangkang - Wakil Kedah

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masa UMNO melakukan strategi serangan berterusan terhadap parti pembangkang dan bukan lagi sekadar menerima tohmahan dan hinaan tanpa berbuat apa-apa.

Perwakilan Kedah, Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin, berkata UMNO perlu menyelongkar dan menerangkan kepada pengundi perkara songsang yang dilakukan pembangkang.

"Kita kena menyerang, kita akan pastikan perkara-perkara songsang mereka ini dibuka, jika mereka hina Presiden (UMNO) kita, kita juga perlu lakukan perkara sama supaya mereka merasa musibah itu.

"Sentimen hormat Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu dihentikan kerana beliau bersekongkol dengan DAP. Apa guna mengenang nostalgia jika ia hanya menambah luka kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyokong usul ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini, hari ini.

Saiful Hazizy yang juga Ketua Pemuda UMNO Kedah berkata, ahli UMNO tidak perlu takut dengan parti pembangkang kerana jelas mereka tidak mampu mentadbir negara sebaik Barisan Nasional (BN).

"Saya berharap ahli UMNO tidak lagi bercerita mengenai parti lawan khususnya parti bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Parti bunga ini premature (tidak matang)...nak susun organisasi pun tak mampu.

"Contoh di Kedah, Menteri Besar lama selalu selfie sana sini tetapi rakyat tidak nampak apa wawasan beliau sebaliknya Menteri Besar sekarang kita nampak lebih mantap dan wawasan beliau amat jelas," katanya.

129 dibaca
Berita Harian X