Jumaat, 8 Disember 2017 | 7:11am
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang membantu penduduk di beberapa perkampungan sekitar Raub yang terjejas akibat banjir untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Foto ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang membantu penduduk di beberapa perkampungan sekitar Raub yang terjejas akibat banjir untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Foto ihsan APM

Banjir di Raub surut

RAUB: Bilangan mangsa banjir di daerah ini berkurangan kepada 220 orang daripada 55 keluarga yang berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga jam 2 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata dua PPS iaitu balai raya Kampung Ulu Sungai yang dibuka pada jam 10.45 malam kelmarin sudah ditutup sepenuhnya pada jam 9.30 pagi tadi, manakala balai raya Ulu Renggol yang dibuka jam 11 malam semalam juga ditutup pada jam 9.15 pagi tadi.

Beliau berkata, 30 keluarga di PPS balai raya Kampung Ulu Sungai dan tiga keluarga lagi di balai raya Ulu Renggol sudah pulang ke rumah masing-masing berikutan air sudah surut.

"PPS yang masih dibuka balai raya Kampung Temau yang menampatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga, balai raya Segi Lama (30 mangsa, lima keluarga), dewan Kampung Pia (104 mangsa banjir, 28 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Chenua ( 45 mangsa, 10 keluarga) dan Masjid Jamek Kuala Semantan (31 mangsa, sembilan keluarga)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Selain itu, Zainal berkata, lima PPS yang menempatkan mangsa banjir diaktifkan secara berperingkat-peringkat, mulai jam 9.25 malam sehingga 12 tengah malam tadi.

"Kita sedang memantau paras air sungai sebagai langkah berjaga-jaga bagi membolehkan tindakan segera diambil, sekiranya ada penempatan dinaiki air.

"Bagaimanapun, hujan sudah berhenti dan jumlah mangsa akan terus berkurangan sehingga petang ini," katanya.

972 dibaca
Berita Harian X