Sabtu, 9 Disember 2017 | 8:57am
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, beramah mesra bersama perwakilan yang menunggu ketika hadir ke Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PAU 2017 masuk hari terakhir

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang memasuki hari terakhirnya hari ini akan bermula dengan perbahasan usul agama dan pendidikan.

Sesi perbahasan itu akan dimulakan wakil Johor Senator Zahari Sarip sebagai pencadang usul sebelum disokong wakil Kelantan Amran Arifin pagi ini.

Sebanyak 14 pembahas dijangka membahaskan usul berkenaan dimulakan oleh wakil Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham Abdullah sebelum sesi penggulungan oleh ketua-ketua sayap, wakil anggota Majlis Tertinggi UMNO, wakil kerajaan, naib presiden dan presiden parti.


Wakil Pergerakan Pemuda UMNO dari Bahagian Segamat, Johor, Senator Zahari Sarip membahaskan usul Agama dan Pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Aziah Azmee

Ucapan penangguhan Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden parti pastinya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh perwakilan yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, tetapi juga oleh seluruh anggota UMNO di seluruh negara memandangkan perhimpunan tersebut adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 .

Semalam, usul ucapan dasar presiden dan usul ekonomi diluluskan oleh 2,718 perwakilan daripada 191 bahagian UMNO yang turut sebulat suara meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang. - BERNAMA

733 dibaca
Berita Harian X